Tuchel jurulatih baharu England?

Iklan
Thomas Tuchel. Foto AFP

BEKAS jurulatih Chelsea dan Bayern Munich, Thomas Tuchel disebut-sebut bakal dilantik sebagai pengurus baharu England selepas dilaporkan bersetuju dengan perjanjian bersama Persatuan Bolasepak (FA).

Perkembangan tersebut dilaporkan beberapa media Britain dan Jerman termasuk The Times, Sky Sports, BBC serta akhbar Jerman Bild bahawa pengendali berusia 51 tahun itu akan dinamakan sebagai pengganti tetap Gareth Southgate.

Iklan
Iklan

FA bagaimanapun enggan mengulas laporan itu tetapi menyatakan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif, Mark Bullingham dijangka memberikan maklumat terkini di Stadium Wembley apabila pelantikan tersebut disahkan.

Jurulatih dari Jerman itu yang menganggur sejak meninggalkan Bayern akhir musim lalu akan menjadi pengurus asing ketiga bagi skuad England selepas Sven-Goran Eriksson dan Fabio Capello.

Iklan

Sky Germany menyebut Tuchel akan menandatangani kontrak selama 18 bulan bermula 1 Januari 2025 sehingga berakhirnya Piala Dunia 2026.

Beliau yang pernah membimbing Borussia Dortmund dan Paris Saint-Germain (PSG) mempunyai rekod kejuaraan yang dicari oleh FA untuk menamatkan penantian 58 tahun bagi memenangi kejohanan utama.

Iklan

Tuchel pernah memenangi gelaran liga di PSG dan Bayern serta Piala Jerman bersama Dortmund, tetapi kejayaan terbesarnya adalah ketika beliau mengendalikan Chelsea.

Beliau menjulang The Blues meraih kejuaraan Liga Juara-Juara hanya beberapa bulan selepas mengambil alih pada 2021 dan memenangi Piala Super UEFA serta Piala Dunia Kelab bersama kelab London itu.

Tuchel dipecat pada September 2022 oleh kumpulan pemilik baharu Chelsea dan enam bulan kemudian, beliau dilantik sebagai pengurus Bayern dan memimpin kelab itu memenangi gelaran Bundesliga untuk kali ke-11 berturut-turut.

Bagaimanapun, beliau juga menyaksikan kemerosotan dominasi Bayern dalam bola sepak Jerman apabila mereka mengakhiri musim lalu tanpa sebarang trofi, pertama kali dalam tempoh 12 tahun.

Lee Carsley dilantik sebagai pengurus sementara England pada Ogos lalu selepas Southgate meletak jawatan berikutan kalah dalam aksi final Euro 2024.