Empat kilang haram disyaki proses e-waste beroperasi 'sorok-sorok'

Iklan
Antara kilang haram yang dikenakan tindakan notis penutupan oleh MPS. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

SEGAMAT - Empat kilang haram disyaki memproses sampah elektronik (e-waste) di Kawasan Perindustrian Segamat 2 di sini telah dikenakan notis penutupan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Segamat (MPS), Mohd Helmi Sha'ri berkata, kilang-kilang haram itu sebelum ini telah membuat permohonan kepada pihaknya, namun tidak diluluskan berikutan tiada sokongan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Iklan
Iklan

Katanya, tindakan kompaun telah dikenakan dan pihak kilang terbabit sudah dipanggil untuk memahami proses mendapatkan lesen melalui saluran yang betul.

Mohd Helmi

Iklan

"Kilang-kilang ini memohon lesen kitar semula iaitu pengasingan bahan kitar semula bukan terjadual. Tindakan 'seal' premis dibuat kerana kilang beroperasi tanpa lesen.

"Tindakan yang diambil sejak beberapa bulan lalu juga mendapati berlaku kegiatan curi tenaga elektrik membabitkan kilang itu. Mereka dipercayai beroperasi waktu malam, bila kita datang periksa, mereka tidak beroperasi dan ini antara cabaran penguatkuasaan," katanya dalam sidang media di Pejabat MPS di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, berdasarkan tindakan yang telah diambil, salah sebuah kilang dikesan membuat pembakaran.

Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut dengan kepakaran teknologi diperlukan untuk mengesahkan kilang terbabit benar mengoperasikan e-waste secara haram.

Kilang haram disyaki memproses e-waste di Kawasan Perindustrian Segamat 2. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Mengenai aduan penduduk berhubung dakwaan pencemaran, ujar beliau, siasatan dijalankan MPS namun dipercayai tidak melibatkan empat kilang haram terbabit.

"Kita sudah patahkan operasi kilang haram ini. Tindakan kompaun telah diambil mengikut kesalahan dilakukan kerana tiada lesen," katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan JAS Cawangan Muar, Mohd Aizuddin Ab Razak berkata, program penguatkuasaan tahunan secara berkala sentiasa dijalankan selepas lesen dikeluarkan untuk JAS membuat kawal selia bagi melihat pematuhan semasa mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Mohd Aizuddin

"Kita menyemak proses pematuhan premis dan tindakan susulan diambil bagi ketidakpatuhan seperti notis arahan, tindakan gantung lesen, kertas siasatan serta Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) bergantung sesi penguatkuasaan.

"Kita juga ada membuka kertas siasatan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan akan melaksanakan proses pertuduhan," ujarnya.

Pada 6 Ogos lalu, Sinar Harian menerusi laporan eksklusif melaporkan aktiviti kilang e-waste haram di Segamat, Johor yang dipercayai beroperasi melerai, memproses dan melebur sisa e-waste diseludup.

Susulan pendedahan itu, Sinar Harian pada 14 Ogos melaporkan penguatkuasaan JAS mengambil tindakan POK ke atas lima kilang e-waste bagi menghentikan pencemaran selain tindakan susulan daripada MPS serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).