Hampir sebulan, rumah masih digenangi air banjir

Iklan
Azrin terpaksa memasak di beranda akibat bahagian dapur ditenggelami air di Kampung Alor Gunung pada Ahad.

ALOR SETAR - Penduduk di Kampung Alor Gunung di sini, berdepan sedikit kesukaran namun terpaksa meneruskan aktiviti harian seperti biasa meskipun kawasan kediaman mereka digenangi air akibat banjir sejak hampir sebulan lalu.

Seorang penduduk, Sodah Ibrahim, 62, berkata, dia tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) disebabkan sakit lutut sekali gus terpaksa mengharungi air bertakung antara 0.2 meter (m) sehingga 0.3 di hadapan rumah sekiranya ingin keluar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, banjir kali ini agak mengejutkan memandangkan berlaku dalam tempoh paling lama di kawasan tersebut.

Keadaan rumah penduduk di Kampung Alor Gunung yang digenangi air.

"Jikalau diikutkan, ini kali pertama banjir hampir sebulan bermula sejak 18 September lepas sehingga hari ini.

Iklan

"Banjir besar melanda Kedah pada 2010 pun hanya lebih seminggu sahaja dan kali ini paling lama memandangkan air belum surut," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.

Sodah berkata, mereka sekeluarga berasa resah memandangkan beberapa perabot juga rosak akibat ditenggelami air ketika gelombang pertama baru-baru ini, selain penat mencuci rumah sebanyak dua kali akibat dimasuki air.

Iklan
Azzah menunjukkan keadaan kawasan kediaman penduduk di Kampung Alor Gunung dilanda banjir sejak September lepas.

"Setakat ini, sudah tiga kali kawasan rumah saya dinaiki air, yang mana air masuk ke dalam rumah ketika gelombang pertama hingga saya terpaksa berpindah ke rumah anak berikutan bimbang kejadian tidak diingini.

"Cuma, kali ini saya tidak berpindah disebabkan air naik di sekeliling rumah namun tidak masuk dalam rumah," katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Azrin Ahmad, 38, berkata, dia jarang keluar rumah sejak kawasan rumahnya dinaiki air sejak September lalu.

Katanya yang sedang mengandung cahaya mata keempat itu, air naik hingga paras 0.3m sahaja namun ia agak menyukarkan pergerakannya disebabkan laluan menjadi licin.

"Jadi, suami pindahkan peralatan memasak di dapur yang terletak bahagian bawah rumah ke ruangan beranda untuk membolehkan saya memasak seperti biasa," katanya suri rumah.

Azrin berkata, dia ada berpindah ke rumah adiknya yang tinggal di daerah sama ketika air naik ke paras 0.5m.

"Hanya kali ini, kami anak beranak tidak berpindah disebabkan banjir temenung pada paras 0.2 hingga 0.3 meter namun sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya perlu berpindah nanti.

"Hampir sebulan sudah tiga kali air naik, memang pergerakan dan aktiviti agak terjejas namun kita reda dengan dugaan yang berlaku ini," katanya.

Bagi mangsa banjir, Azzah Sharif, 49, dia sudah letih apabila perlu mencuci kediaman berkali-kali akibat rumah ditenggelami air sebanyak tiga kali sejak hampir sebulan lepas.

"Memang penat sebab baru sahaja habis bersihkan rumah, tiba-tiba air naik semula dan sehingga kini sudah empat kali saya cuci rumah sampai rasa hendak patah pinggang," katanya.

Lebih membimbangkan, menurut Azzah, mereka mengalami kerugian yang banyak akibat kerosakan pelbagai peralatan khususnya motosikal yang ditenggelami air.

"Ada peralatan elektrik seperti mesin basuh, kami tidak sempat menyelamatkannya ke tempat lebih tinggi dan selamat sebab air naik terlalu cepat," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar Pertahanan Awam Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, jumlah penduduk terjejas akibat banjir di Kedah menunjukkan penurunan daripada 1,502 mangsa dari 491 keluarga pada jam 12 tengah hari Selasa kepada 1,266 mangsa dari 398 keluarga setakat jam 12 tengah hari Rabu.

Beliau berkata, kesemua mangsa terjejas dari empat daerah iaitu Kota Setar, Baling, Kubang Pasu dan Pokok Sena ditempatkan di 11 PPS di seluruh Kedah setakat ini.

Menurutnya, sebuah PPS masih aktif di Pokok Sena adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tualang,manakala dua lagi PPS iaitu Dewan Kompleks Rakan Muda dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang masih dibuka di Pendang.

Tambah Muhammad Suhaimi, sebanyak empat PPS di daerah Kota Setar termasuklah SMK Alor Merah, SK Titi Gajah, SK Taman Aman dan SK Sri Gunong,serta empat lagi di Baling meliputi Dewan Tun Abdul Razak (baru), Dewan Tun Abdul Razak (lama), Kompleks Rakan Muda dan SK Kuala Ketil.

"Sehingga kini, daerah Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 469 orang, diikuti 459 mangsa di Baling, 334 mangsa lagi di daerah Pendang dan empat mangsa di Pokok Sena," katanya.