IMPIAN pemain muda negara, Leong Jun Hao untuk melakar kejutan ke atas pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia pada Kejohanan Badminton Terbuka Denmark tidak kesampaian.
Jun Hao yang menghuni ranking ke-27 dunia terpaksa akur tewas kepada pemain Indonesia, Jonatan Christie dalam pertarungan straight set di Odense sebentar tadi.
Iklan
Iklan
Pemain negara turun ke gelanggang dengan yakin dalam misi untuk mengulangi kejayaan pernah menewaskan Jonatan di Jakarta Jun lalu.
Bagaimanapun corak permainan Jun Hao mudah dibaca lawan yang berada di kedudukan ketiga dunia apabila menang set pertama 21-16 pada pusingan awal kejohanan berstatus Super 750 itu.
Pemain berusia 24 tahun dari Setapak, Kuala Lumpur itu cuba bangkit pada set kedua, namun pengalaman nyata berpihak Jonatan yang mengesahkan kemenangan 21-14.
Jun Hao pada Jun lalu mengejutkan juara Asia 2024 dan Seluruh England 2024 itu pada Terbuka Indonesia menerusi kemenangan 21-13, 16-21 dan 21-12 dalam masa satu jam dan dua minit.
Dalam saingan pusingan kedua pada Khamis, Jonatan akan menentang Lu Guang Zu dari China yang menumpaskan pemain India, Lakshya Sen 12-21, 21-19, 21-14.