'Abah janji mahu jumpa kami hari ini'

Iklan
Roslaiti (dua dari kanan) memegang baju milik Adnan.

KUALA KRAI -"Abah janji mahu jumpa kami hari ini," kata anak kepada mangsa serangan harimau di sebuah rumah kongsi Bagan Balak di Kilometer 79.2 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli, Gerik pada Selasa.

Nur Nazirah Adnan, 29, berkata, bapanya, Adnan Ismail, 54, ada menghubungi keluarga memaklumkan mahu pulang ke kampung selepas lebih sebulan tidak berjumpa.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun Nazira tidak menyangka, akibat kejadian berkenaan dia dan adik-beradik hanya dapat melihat jenazah bapa mereka.

"Abah ada memaklumkan mahu pulang untuk menghantar perbelanjaan persekolahan adik-beradik dan menukar tayar kereta hari ini," katanya ketika ditemui di kediaman ibunya, Roslaiti Sulaiman, 48, di Kampung Ngangoh pada Rabu.

Iklan

Nur Nazirah dan ibunya (kanan) melihat gambar bapanya.

Jelasnya lagi, bapanya baru lima bulan bekerja sebagai pemandu jentera berat di kawasan hutan dekat Bersia di Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli.

Iklan

Media pada Selasa melaporkan, seorang lelaki diserang binatang buas di kawasan hutan dekat Bersia dan mayat mangsa ditemui pada jam 12 tengah hari kira-kira 100 meter dari rumah kongsi di kawasan hutan itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kejadian dipercayai berlaku antara jam 5 pagi hingga 6 pagi ketika mangsa ke tandas di lokasi kejadian.

Berkongsi kejadian berkenaan, Nur Nazirah memberitahu, dia dimaklumkan ibu tirinya, Saina Binsa bahawa bapanya diserang harimau ketika turun ke tandas di rumah kongsi untuk mengambil wuduk.

Nur Nazirah berkata, ketika itu ibu tirinya yang dipanggil Mak Su baru sahaja keluar dari tandas selepas mengambil wuduk dan masuk ke dalam rumah kongsi.

"Mak Su beritahu tiba-tiba terdengar bunyi gigitan harimau dan terus membuka pintu. Malangnya dalam sekelip mata sahaja ayah sudah diseret haiwan itu tidak jauh dari rumah kongsi," katanya.

Adnan

Kata Nur Nazirah lagi, dia juga dimaklumkan bapanya diterkam di bahagian leher dan belakang mengakibatkan keadaannya parah di bahagian dada dan kehilangan kaki kiri.

Anak kedua daripada 10 beradik itu berkata, dia menerima panggilan daripada seorang sepupunya kira-kira jam 6 pagi memaklumkan kejadian itu.

"Saya terkedu dan tidak mampu berkata-kata. Kami kini hanya menanti 'kepulangan' abah," katanya lagi.

Dalam pada itu, Nur Nazirah memberitahu, jenazah bapanya masih berada di Hospital Taiping, Perak untuk dibedah siasat dan dijangka tiba pada jam 10 malam ini untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kenor.