Belanjawan 2025: Inisiatif negara muncul peneraju ekonomi ASEAN

Iklan
Ahmad Zaharuddin Sani

ALOR SETAR - Belanjawan 2025 diharapkan dapat memacu negara menjadi peneraju ekonomi ASEAN selain memperkukuhkan ekonomi bumiputera dalam era baharu yang dinamis dan mencabar.

Pemerhati ekonomi, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, beberapa tumpuan harus diberikan agar aspirasi tersebut menjadi kenyataan sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, adalah penting untuk mengimbangi keperluan belanjawan dalam melonjakkan ekonomi bumiputera selain memanfaatkan individu dan sektor tertentu.

"Belanjawan 2025 perlu perkukuhkan semula ekonomi bumiputera, antaranya dengan menawarkan dana khusus untuk perusahaan bumiputera.

Iklan

"Contohnya, peruntukan dana RM2 bilion bagi perkasakan perusahaan bumiputera dalam sektor strategik seperti teknologi, pertanian moden dan perkilangan.

"Ini termasuk bantuan modal, latihan perniagaan dan promosi produk di pasaran luar negara,” katanya.

Iklan

Ahmad Zaharuddin Sani percaya menerusi program pembangunan keusahawanan ia mampu dicapai.

"Laksanakan program latihan dan pembelajaran berstruktur kepada golongan muda bumiputera dengan memfokus kepada pembangunan kemahiran perniagaan dan inovasi,” kata pemenang anugerah ‘Chairman of Sustainability 2024’ majalah CEO Monthly terbitan United Kingdom (UK).

Menurutnya lagi, strategi pengukuhan ringgit juga harus diberikan tumpuan dengan membangunkan dasar monetari dan fiskal yang mendukung kestabilan ringgit, termasuk menambah peruntukan untuk simpanan asing dan menggalakkan pelaburan domestik.

"Belanjawan kali ini harus menyokong sektor ekonomi utama, menggalakkan sektor berkaitan eksport seperti elektronik dan minyak sawit dengan insentif cukai untuk meningkatkan pendapatan negara dan menstabilkan nilai ringgit,” ujarnya.

Jelas beliau, pelaburan dalam Infrastruktur tempatan juga harus dititikberatkan dalam Belanjawan 2025 untuk memperkasakan ekonomi tempatan.

"Peruntukan sekurang-kurangnya RM5 bilion untuk projek infrastruktur tempatan yang menyokong pembangunan komuniti dan meningkatkan daya saing wilayah, seperti pembangunan pusat logistik dan pengangkutan awam.

"Galakkan inisiatif koperasi selain menyokong usahawan tempatan melalui kemudahan pinjaman mudah dan akses kepada pasar tanpa terlalu banyak birokrasi,” jelasnya.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, apabila pengukuhan ekonomi domestik dicapai, Malaysia diyakini mampu menjadi peneraju ekonomi ASEAN.

"Inisiatif dasar perdagangan terbuka perlu diperkenalkan, tampilkan dasar-dasar yang mendorong pelaburan asing dan meningkatkan hubungan perdagangan dengan negara ASEAN, dengan sasaran RM1 trilion dalam perdagangan luar negeri menjelang 2030.

"Pendidikan dan latihan kemahiran untuk tenaga kerja pula perlu selari agar dapat menambah keperluan tenaga kerja mahir sehingga 100,000 orang menjelang 2025, antaranya menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), teknologi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hijau,” katanya.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, rakyat pula tentunya menaruh harapan tinggi terhadap Belanjawan 2025 dalam sektor ekonomi.

"Rakyat berharap penggunaan peruntukan belanjawan lebih telus dan menyasar kepada pemerkasaan ekonomi tempatan yang berdaya saing.

"Harapan rakyat juga untuk melihat jurang ekonomi antara kaum dapat dikurangkan selain meningkatkan taraf hidup melalui program yang menyokong bumiputera,” ujarnya.

Menurutnya, rakyat turut menginginkan peningkatan dalam kualiti perkhidmatan awam dan infrastruktur untuk meningkatkan kesejahteraan.

"Rakyat juga mahu keterlibatan lebih besar dalam perancangan dan pelaksanaan dasar ekonomi, termasuk sokongan kepada inisiatif bumiputera dan pemerkasaan ekonomi tempatan,” jelasnya.