Israel jadi penghalang perjanjian gencatan senjata di Gaza - PM Qatar

Iklan
Seorang warga Palestin memeriksa rumah yang musnah selepas ia diserang oleh tentera Israel di kem pelarian al-Nuseirat, tengah Semenanjung Gaza. Foto Xinhua

DOHA - Pendirian kerajaan Israel telah menjadi penghalang kepada perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza, kata Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani, lapor Agensi Berita Rusia (TASS).

"Qatar telah memainkan peranan sebagai pengantara sejak bermulanya konflik. Kami telah melakukan ini selama lebih setahun tetapi, malangnya, perjanjian memerlukan persetujuan kedua-dua pihak.

Iklan
Iklan

Satu daripada pihak tidak berhasrat untuk memeterai perjanjian. Tidak kira apa yang kami lakukan sebagai pengantara, hasilnya tetap sama. Anda tahu mengenai halangan itu. Pihak Israel telah menjadi penghalang, terutamanya sejak kebelakangan ini," kata Perdana Menteri dalam temu bual dengan stesen Qatar Television.

Sheikh Mohammed menekankan bahawa walaupun negaranya berpegang pada 'pendirian yang konsisten, jelas dan terkenal' dalam menyokong rakyat Palestin, usaha pengantaraannya sentiasa 'benar-benar telus dan berlandaskan niat baik'.

Iklan

Beliau berkata, Qatar akan meneruskan usahanya yang bertujuan untuk menyelesaikan konflik itu.

Pada 15-16 Ogos, Doha menganjurkan pusingan baharu rundingan yang bertujuan mencapai persetujuan mengenai pembebasan tawanan yang ditahan di Semenanjung Gaza dan pelaksanaan gencatan senjata di sana.

Iklan

Pemimpin Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) dalam kenyataan bersama mereka selepas rundingan menyatakan bahawa perbincangan itu diadakan dalam suasana positif.

Semasa pusingan baharu rundingan, Washington membentangkan cadangan yang bertujuan mengurangkan perselisihan faham antara Hamas dan Israel, tetapi kumpulan Palestin itu kemudiannya menyatakan bahawa inisiatif AS hanya menguntungkan Israel semata-mata. - Bernama