SHAH ALAM - Pas menerima keahlian daripada semua peringkat ilmu dan taraf kehidupan asalkan seseorang itu berakal serta mukalaf.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ijazah ilmu atau harta yang banyak, pangkat dan keturunan tiada guna kepada parti itu jika tidak diterima oleh ALLAH SWT.
Menurutnya, bagi menegakkan Islam yang sempurna menghadapi zaman dan cabaran berbeza, Pas bertahaluf, berta’awun, berlawan atau bertempur dengan masyarakat majmuk yang berada di medan kerja.
"Namun, Pas tetap beristiqamah di atas dasar aqidah perjuangan dan mampu berijtihad hukum yang tidak ada nas dalam membuat keputusan terhadap urusan kemanusiaan dan alam sekelilingnya.
"Hal ini demikian kerana Pas dipelihara oleh pasukan Majlis Syura Ulama yang berwibawa dan ilmuwan yang matang bagi menangani perjalanan di semua medan masyarakat majmuk dengan matang dan sejahtera,” katanya menerusi ‘Minda Presiden Pas’ di Facebook beliau pada Rabu.
Abdul Hadi berkata, meskipun Pas mengalami pasang dan surut dalam perjalanannya, namun kekuatan parti itu tetap bertambah menyebabkan pengikut yang menyertai kumpulan itu lebih ramai.
Ujarnya, al-Quran dan sunnah merupakan petunjuk sepanjang zaman yang tidak hilang cahayanya.
"Pas ditubuhkan oleh kumpulan Islam yang silih berganti sejak awal sehingga kini terus mempertahankan prinsip dan konsep politik yang mewajibkan berjemaah dalam satu parti.
"Ia turut menetapkan undang-undang tubuh atau perlembagaannya dengan ciri, rukun dan prinsipnya yang teguh dan sedia menghadapi cabaran serta perubahan zaman dan tempat,” tambahnya.