SHAH ALAM - Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah di Selangor telah diaktifkan bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL).
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, hebahan berkaitan kejadian air pasang besar juga telah dibuat melalui pelbagai medium.
Menurutnya, agensi lain termasuk pasukan polis, bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia turut akan digerakkan membuat pemantauan dan penilaian risiko sepanjang tempoh air pasang besar.
"Secara umumnya, semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah telah bersiap siaga dengan fenomena ini.
"Agensi teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah membuat rondaan berkala di pesisir pantai bagi memastikan ban penahan berada dalam keadaan yang baik," katanya menerusi kenyataan pada Rabu
Di samping itu katanya, JPS telah bersedia menggerakkan 'mobile pump' ke kawasan titik panas atau hotspot sekiranya berlaku banjir termenung.
Selain itu beliau berkata, anak-anak syarikat kerajaan negeri turut menawarkan bantuan pam sekiranya terdapat keperluan pam tambahan.
Ujarnya, persiapan itu dibuat mengambil kira musim MTL yang dijangka berlaku lebih awal iaitu pada awal November.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika membuat tinjauan di kawasan runtuhan lereng di Taman Melawati pada pagi Rabu turut mengingatkan penduduk pesisir pantai Selangor bersedia dan berwaspada dengan situasi pasang besar.
Ujarnya, fenomena itu dijangka bermula Khamis iaitu 17 Oktober hingga 20 Oktober ini.
"Pada 18 Oktober, dijangka paras air laut mencapai tahap tertinggi iaitu 5.8 meter jadi dari Klang ke Sabak Bernam ada risiko banjir.
"Kerajaan negeri telah arahkan ban yang belum siap untuk dibina ban sementara. Selain itu, pusat kawalan negeri dan daerah juga telah beroperasi bagi pemantauan," katanya.