MUAR - Seorang pegawai perubatan berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM113,086.40 lesap akibat terpedaya dengan peluang kerja sambilan yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner, Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, lelaki berusia 27 tahun itu pada mulanya telah berkenalan dengan seorang individu melalui satu aplikasi dan ditawarkan kerja sambilan.
Iklan
Iklan
Menurutnya, mangsa diminta untuk membuat tinjauan mengenai kecekapan tenaga dan akan mendapat pulangan komisen sebanyak 20 peratus setelah selesai membuat tinjauan melalui pautan yang diberikan.
"Tertarik dengan pulangan komisen lumayan serta tawaran kerja sambilan tersebut, mangsa telah mendaftar sebagai ejen dalam sebuah web. Bagi mendapatkan pautan tinjauan yang ditawarkan, mangsa telah melakukan 14 transaksi ke lima akaun berbeza berjumlah RM113,086.40.
"Melalui paparan laman web yang dimuat turun, mangsa telah mendapat keuntungan sebanyak RM130,000. Bagaimanapun, untuk mengeluarkan keuntungan tersebut, mangsa diminta membuat bayaran tambahan," katanya.
Raiz berkata, mangsa enggan membuat bayaran tambahan kerana berasa telah ditipu.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, dengan sebatan dan juga denda.