Bertahan hidup, 66 hari hanyut di tengah laut

Iklan
Sebuah bot nelayan akhirnya menjadi penyelamat lelaki tersebut. - Foto Agensi

MOSCOW - Lelaki ini sememangnya mempunyai mental yang kuat kerana mampu bertahan setelah hanyut di laut selama 66 hari.

Warga Rusia, Mikhail Pichugin, 46, turut berkongsi pengalaman sepanjang dua bulan terapung di samudera sebelum diselamatkan oleh bot nelayan di luar perairan Semenanjung Kamchatka pada Isnin.

Iklan
Iklan

"Saya masih hidup kerana kuasa tuhan dan bot digelar Angel (malaikat) jadi penyelamat saya," katanya sambil tersenyum walaupun masih lemah dan sedang dirawat di sebuah hospital di bandar Magadan, Pichugin pada Rabu.

Pichugin berkata, dia menadah air hujan dan berlindung dengan beg tidur berisi bulu unta.

Iklan

"Saya tiada pilihan lain kecuali terus bertahan untuk hidup ketika hanyut di Laut Okhotsk kerana sentiasa teringatkan keluarga di rumah dan jadikan mereka sebagai motivasi," ujarnya.

Difahamkan, abangnya, Sergei, 49, dan anak saudaranya, Ilya, 15, telah meninggal dunia sebelum sempat diselamatkan.

Iklan

Sementara itu, Timbalan Gabenor Magadan, Tatiana Savchenko berkata, keadaan kesihatannya semakin baik dan mereka akan menguruskan penerbangan pulang Pichugin.

Difahamkan, lelaki tersebut berasal dari Ulan-Ude di Siberia, namun bekerja di Pulau Sakhalin di wilayah Timur Jauh Rusia sebagai pemandu.

Dia bersama dua ahli keluarganya itu berlayar dari pantai di wilayah Khabarovsk untuk menyeberangi ke Sakhalin pada 9 Ogos lalu, namun tidak tiba di lokasi berkenaan.

Pada mulanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilancarkan di sekitar perairan Kamchatka, tetapi tidak menemui sebarang petunjuk lalu ia kemudiannya dihentikan.

Bot hanyut Pichugin ditemui sejauh 1,000 kilometer dari titik permulaannya.

Menurut isterinya, Pichugin mungkin terselamat kerana faktor berat badannya mencecah 100 kilogram (kg).

Stesen TV Rusia bagaimanapun melaporkan dia kehilangan separuh berat asalnya dalam sepanjang tempoh tersebut.

"Ia sememangnya ajaib kerana bekalan makanan dan air hanya dapat memenuhi keperluan mereka selama dua minggu," jelas Yekaterina.

Susulan insiden itu, penyiasat pengangkutan telah melancarkan siasatan terhadap kemungkinan berlaku pelanggaran peraturan keselamatan dan jika disabit bersalah Pichugin boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun. - AFP