Cuba rempuh kereta peronda, polis lepas tujuh das tembakan

Iklan

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan melepaskan tujuh das tembakan ke atas sebuah kenderaan pacuan empat roda dinaiki empat penjenayah di Serendah, Selangor pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, tindakan tersebut terpaksa diambil ekoran kereta dinaiki kumpulan penjenyah bertindak mahu merempuh kereta peronda polis, semasa cubaan melarikan diri.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kumpulan penjenayah cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan pihak polis yang diadakan di Serendah pada awal pagi Rabu.

"Dalam kejadian jam 2.41 pagi itu, pegawai polis daripada cawangan kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor cuba menahan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan dengan mengarahkannya berhenti.

Iklan

"Bagaimanapun ketika mana hendak ditahan, kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dinaiki oleh empat lelaki itu telah bertindak merempuh kenderaan peronda sehingga membahayakan nyawa pegawai polis bertugas.

"Ekoran itu, polis terpaksa melepaskan tujuh das tembakan ke arah kenderaan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Bagaimanapun jelas beliau, kesemua suspek berjaya melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan yang dinaiki di tempat kejadian.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan yang ditinggalkan suspek, polis menemukan sebilah parang, sebilah sabit, satu unit kuku kambing, pemutar skru serta tukul besi.

Sehubungan itu menurutnya, polis kini sedang giat memburu kesemua suspek terlibat.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Azraai Firdaus Rosli di talian 03-60641223 atau IPD Hulu Selangor 03-60651021 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.