Harap negara lain contohi Malaysia beri tekanan kepada Israel

Iklan

SHAH ALAM - Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) mahu seluruh dunia contohi tindakan tegas kerajaan Malaysia terhadap Israel sebagai sokongan terhadap rakyat Palestin dan bantahan kekejaman rejim zionis.

Pengerusi Serantau Muslim, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, tindakan tegas yang dilakukan oleh Malaysia dapat memberi tekanan kepada Israel agar tidak meremehkan soal hak asasi manusia.

Iklan
Iklan

"Serantau Muslim ingin menyanjung usaha Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Malaysia yang tidak membenarkan atlet Israel masuk ke negara ini untuk Kejohanan Renang Para Dunia 2019,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, kerajaan tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung bermula 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Iklan

Dr. Mahathir menjelaskan, sekiranya skuad Israel itu tetap berdegil mahu menyertai kejohanan berkenaan maka ia adalah satu kesalahan.

Tindakan Malaysia tidak membenarkan atlet Israel menyertai kejohanan tersebut yang mengundang bantahan Jawatankuasa Olimpik Israel yang memberi tekanan berterusan kepada penganjur agar atlet mereka diberikan visa.

Iklan

Ini memandangkan kejohanan itu dikatakan sebagai platform penting bagi kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Sehubungan itu, Raja Ahmad Iskandar berkata, tindakan tersebut adalah wajar kerana ia sejajar dengan dasar yang dipegang oleh kerajaan Malaysia selama ini dengan menyekat kemasukan mereka yang memegang pasport Israel.