Harga air mineral pun sudah sama dengan petrol RON95

Iklan
Air menjadi satu sumber komoditi berharga apabila air mineral sudah pun menyamai harga petrol.

SHAH ALAM - Air kini menjadi satu komoditi yang mendapat permintaan tinggi sehinggakan harga air minuman berkualiti seperti air mineral sudah pun menyamai harga minyak petrol RON95.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa buah 'outlet' di Kuala Lumpur mendapati harga jenama air mineral paling popular di Malaysia dijual antara RM2.80 hingga RM3 bagi botol 1.5 liter.

Iklan
Iklan

Wartawan Sinar Harian, menggunakan saiz botol yang sama untuk mengisi minyak petrol RON95 dan selepas diisi penuh botol 1.5 liter itu harga yang perlu dibayar di kaunter stesen minyak ialah RM3.12.

Ini bermakna perbezaan harga untuk sebotol air mineral paling popular di Malaysia dengan sebotol petrol cuma 12 sen.

Iklan

Dalam pada itu, kebanyakan orang awam yang ditemui bersetuju bahawa air terutamanya air minuman berkualiti sudah menjadi satu komoditi yang semakin mahal.

Junidah Darius, 38, berkata, air merupakan satu keperluan hak asasi dan air bersih kini menjadi satu komoditi yang semakin berharga.

Iklan

"Selain air mineral, lihat sahaja bagaimana pengguna di dunia termasuk Malaysia sanggup membayar ratusan ringgit setiap bulan untuk produk-produk penapis air demi mendapatkan air minuman berkualiti.

"Begitu juga dengan air minuman dan air mineral botol yang setiap tahun meningkat serta sudah menyamai harga petrol,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Junidah Darius

Sementara itu bagi peniaga makanan, Zarul Nizam Babazin, 23, air sememangnya menjadi keperluan yang mustahak pada zaman kini dan masa depan.

"Kami peniaga memang perlukan air, selalunya penggunaan juga agak banyak. Kami tak terkejut jika kajian menjangkakan penggunaan air akan bertambah pada tahun-tahun mendatang.

"Perumahan pun semakin bertambah, perniagaan juga semakin bertambah maka tidak hairanlah penggunaan turut bertambah,” katanya.

Dalam pada itu, Yahya Yusuf berkata, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu melakukan sesuatu bagi memastikan sumber air di Malaysia dapat menampung permintaan yang semakin meningkat.

Yahya Yusuf

Menyedari permintaan semakin meningkat saban tahun, Yahya berpendapat kerajaan boleh memberi tumpuan kepada rawatan air dan menjaga kebersihan air.

"Terpulang kepada kerajaan negeri untuk melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah ini tapi saya fikir kalau dinaikkan tarif, memang rakyat akan bising.

"Kerajaan kena faham, kehidupan rakyat bukanlah semua senang, memang ramai yang akan bantah,” katanya.