YB rasai ʻkemeriahanʼ bah di ibu negara

Iklan
Kuala Lumpur 'lumpuh' pada Selasa berikutan hujan lebat mengakibatkan beberapa kawasan dinaiki air.

BERMULA awal September sehingga hari ini, akhbar semakin kerap melaporkan mengenai situasi banjir di seluruh negara.

Jika dahulu, hujung tahun sering dikaitkan dengan banjir terutama Kelantan tetapi fenomena ini sedikit demi sedikit berubah apabila hampir setiap negeri mula merasai ‘pesta air’ yang selama ini menjadi identiti negeri di pantai timur itu.

Iklan
Iklan

Pagi Selasa lalu, warga kota berpeluang merasai pesta air apabila beberapa kawasan ‘lumpuh’ akibat hujan lebat.

Kejadian sama turut menyebabkan sesi pagi sidang Dewan Rakyat di Parlimen terpaksa ditangguhkan kerana ada dalam kalangan Yang Berhormat (YB) terperangkap akibat banjir kilat.

Iklan

Hebahan mengenai penangguhan itu mendapat pelbagai reaksi warga maya yang rata-rata ‘bersetuju’ apabila wakil rakyat dapat bersama- sama merasai kelewatan akibat laluan dinaiki air.

Tidak terkecuali penulis sendiri. Sementara menunggu hujan reda, teringat kata-kata seorang pemimpin parti politik mendakwa kerajaan negeri Selangor gagal mengurus banjir.

Iklan

Nada disuarakan ketua pemuda itu seolah-olah banjir berlaku adalah perkara memalukan.

Pendapatnya juga disambut seorang lagi ahli politik daripada gabungan sama yang senada dengan menyalahkan pihak berkuasa.

Sedangkan banjir yang melanda membabitkan seluruh negara, bukan tertumpu di ibu negara dan Selangor semata-mata.

Sedikit perkongsian ilmiah mengenai fenomena alam yang berlaku ketika ini disebabkan peralihan angin Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut.

Sebelum ini, Oktober adalah waktu peralihan atau tempoh bertenang dan keadaan cuaca baik.

Kebiasaannya, segala aset berkaitan banjir sudah diatur gerak ke timur Semenanjung manakala aktiviti kemasyarakatan seperti ‘bekwoh’ di Kelantan adalah dilarang.

Ia adalah tradisi turun temurun yang mengaitkan banjir hujung tahun dengan negeri di pantai timur.

Bagaimanapun, dapatan cerapan cuaca kali ini mendapati berlaku sedikit perubahan tiupan angin dan taburan hujan yang berbeza.

Ingatkah kita mengenai Taufan Yagi yang melanda Vietnam dan Filipina bulan lalu sehingga mengorbankan ratusan nyawa.

Dalam ilmu geografi, putaran ribut di hemisfera selatan adalah mengikut pusingan arah jam manakala di hemisfera utara pula adalah sebaliknya iaitu lawan jam.

Pembentukan ribut terjadi apabila Kepulauan Sumatera dan timur Sri Lanka mengalami tekanan rendah.

Ini menyebabkan laluan angin membentuk pusaran dan Kedah antara negeri terawal merasai tempiasnya, disusuli air pasang dan ribut.

Mungkin pada hemat penduduk, hujung tahun adalah musim banjir di pantai timur, bukannya utara.

Selepas membadai Kedah, angin mula beralih arah menuju ke selatan dan Perak menjadi sasaran seterusnya.

Disebabkan Banjaran Titiwangsa menjadi tembok memisahkan timur dan barat Semenanjung, tempiasnya hujan dirasai warga Lembah Klang, namun tujahan angin semakin berkurangan di selatan Negeri Sembilan yang juga negeri penghujung Banjaran Titiwangsa.

Bantuan angin dari Sumatera dan Selatan menolak hujan lebat dan kejadian dialami penduduk pantai barat Semenanjung akan mula dirasai penduduk di utara Johor pula sebelum menuju ke pantai timur yakni Kelantan.

Dalam situasi ini, secara teorinya Johor Bahru terselamat daripada ditimpa hujan lebat.

Ringkasnya, menuding jari menyalahkan orang lain bukan cara menyelesaikan masalah yang diakibatkan oleh bencana alam.

Penulis tidak nafikan mungkin ada kekhilafan daripada pihak tertentu yang culas menjalankan tugas diamanahkan.

Tetapi lebih baik bersama-sama berganding bahu menyelesaikan masalah dihadapi penduduk.

Ganjarannya bukan diraih hari ini, tetapi ketika pilihan raya umum (PRU) akan datang apabila rakyat akan memilih siapa intan dan siapa kaca.

* Mohd Razlan Salleh ialah Penyunting Sinar Harian