SHAH ALAM - Kerajaan perlu melibatkan ulama-ulama yang berkaliber dan berwibawa dalam usaha menjayakan Program Rehabilitasi secara sukarela kepada semua ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Pensyarah di Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS CASIS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Khalif Muammar A Harris berkata, penekanan perlu diberikan kepada ulama dalam konteks tasawuf, tauhid, ajaran Islam dan pemikiran Islam yang menyeluruh dan mendalam.
Katanya, ini kerana bukan sesuatu yang mudah untuk memperbetulkan akidah pengikut-pengikut yang tegar dalam ajaran sesat terbabit.
"Mereka juga menganggap orang-orang yang menentang pandangan dan cara mereka itu adalah orang yang keliru dan sesat,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Ujarnya, kerajaan perlu menggunakan pendekatan menyeluruh dan mendalam untuk menarik kembali golongan terbabit.
Jelasnya, peluang untuk ahli-ahli berkenaan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar masih ada namun perlu kerjasama yang jitu.
"Harapan itu ada tapi biarlah ditangani dengan betul. Kalau setakat melepaskan batuk di tangga ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah.
"Kita tidak mahu ia berterusan dan peristiwa itu berulang. Kita faham kerana sudah alaminya sebelum ini,” katanya.
Pada Isnin, kerajaan menawarkan Program Rehabilitasi secara sukarela kepada semua ahli GISBH yang memerlukan bimbingan akidah dan kelangsungan hidup selepas tindakan penguatkuasaan terhadap organisasi berkenaan.
Program selama tiga bulan atau 90 hari itu terbuka kepada semua ahli GISBH termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak di semua peringkat umur.