SK Bukit Kerayong selesa status bukan pilihan

Iklan
Rahimi (barisan belakang, kanan) bersama jurulatih, guru dan pemain SK Bukit Kerayong.

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Bukit Kerayong mengambil satu perlawanan ke satu perlawanan selepas berjaya melepasi fasa Pusingan 16 Piala Raja Muda Selangor edisi ke-35.

Malah pengurus pasukan SK Bukit Kerayong, Rahimi Ismuni menegaskan pasukan dari Kapar itu lebih selesa dengan status bukan pilihan di suku akhir apabila berdepan SK Bandar Baharu Selayang 2.

Iklan
Iklan

"Sejujurnya kemenangan 2-1 ke atas SK Taman Sungai Besi Indah masih belum lagi memberikan bayangan jelas kepada SK Bukit Kerayong untuk ke pentas final.

"Ini memandangkan banyak lagi perkara yang perlu diambil kira dalam mengharungi perlawanan selepas ini sekiranya kemenangan berpihak SK Bukit Kerayong ketika menentang SK Bandar Baharu Selayang 2," katanya kepada Sukan Sinar.

Iklan

SK Bukit Kerayong sebelum itu mengesahkan kemaraan ke suku akhir berdepan SK Bandar Baharu Selayang 2 di padang SK Sungai Lang, Banting selepas menewaskan SK Taman Sungai Besi Indah, 2-1 dalam aksi Pusingan 16 di padang SK Sungai Buaya, Banting pada Isnin.

Mengulas lanjut persiapan berdepan SK Bandar Baharu Selayang 2, Rahimi berkata:"Insya-ALLAH, pemain-pemain SK Bukit Kerayong sudah bersedia segi emosi dan psikologi berdepan saingan pasukan lawan.

Iklan

"Alhamdulillah, semua pemain kami berada dalam kondisi fizikal mantap serta bertenaga dan, Insya-ALLAH kami akan turunkan kesebelasan terbaik berdepan SK Bandar Baharu Selayang 2."

Pada masa sama, Rahimi mewakili barisan jurulatih dan pemain menyifatkan pencapaian SK Bukit Kerayong adalah hasil sokongan padu komuniti sekolah berkenaan.

"Berkat sokongan semua bermula dengan pentadbiran sekolah terutamanya Guru Besar, Musa Mohd Walid, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, komuniti sekolah dan warga Kampung Bukit Kerayong, menyuntik semangat kami berjuang sehabis baik demi nama SK Bukit Kerayong,” katanya.

Ditanya elemen memacu konsistensi SK Bukit Kerayong menjinakkan SK Taman Sungai Besi Indah, Rahimi berkata, setiap pemain diterapkan agar sentiasa yakin dengan kebolehan masing-masing sejak daripada permulaan saingan edisi ke-35 berkenaan.

"Apabila pemain-pemain berkeyakinan di tengah padang dan sepanjang perlawanan, Insya-ALLAH, mereka mampu melakukan yang terbaik dan berjuang habis-habisan untuk memenangi perlawanan.

"Dari segi emosi pula, guru-guru dan jurulatih juga sentiasa memberi penekanan kepada pemain-pemain agar sentiasa mengawal emosi dan fokus pada perlawanan."

Sebagai rekod, Piala Raja Muda Selangor edisi ke-35 menyaksikan sebanyak 32 pasukan dibahagikan kepada lapan kumpulan dengan dua pasukan teratas dalam kumpulan layak ke pusingan 16 terbaik, diikuti suku akhir, separuh akhir dan akhir.

Kejuaraan pembangunan bakat bawah 12 tahun ini terus mendapat penajaan daripada Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad dengan Sinar Harian sebagai media rasmi.

PIALA RAJA MUDA SELANGOR

SUKU AKHIR

KHAMIS (17 OKTOBER)

SK Seksyen 20 lwn SK Leftenan Adnan

(Padang SK Sri Petaling, 8.30 pagi)

SK Bukit Kerayong lwn SK Bandar Baru Selayang 2

(Padang SK Sungai Lang, 8.30 pagi)

SK TUDM Subang lwn SK Jalan 3

(Padang SK Sri Petaling, 9.45 pagi)

SK Seri Selangor lwn SK Seri Pristana

(Padang SK Sungai Lang, 9.45 pagi)