Tuchel wajib menang Piala Dunia

Iklan
Alan Shearer (dalam bulatan) menegaskan Tuchel mesti memenangi Piala Dunia sebagai menjustifikasikan pelantikannya sebagai pengurus England. Foto Agensi

THOMAS Tuchel mesti memenangi Piala Dunia 2026 bagi menjustifikasikan pelantikannya sebagai pengurus baharu England, menurut bekas kapten Three Lions, Alan Shearer.

England belum memenangi kejohanan utama sejak Piala Dunia 1966, tetapi beberapa kali hampir menamatkan kemarau tersebut di bawah bekas pengurus, Gareth Southgate.

Iklan
Iklan

Southgate meletak jawatan tidak lama selepas tewas dalam perlawanan akhir Euro 2024 kepada Sepanyol pada Julai lalu dan pernah membawa England ke perlawanan akhir Euro 2020, suku akhir Piala Dunia 2022, serta separuh akhir Piala Dunia 2018.

Tuchel yang dinamakan sebagai pengurus asing ketiga pasukan lelaki England pada Rabu, akan mewarisi ramai pemain berbakat termasuk penyerang Bayern Munich, Harry Kane dan Jude Bellingham dari Real Madrid.

Iklan

Jurulatih Jerman itu mempunyai rekod yang mengagumkan dalam memenangi trofi utama semasa bertugas di Borussia Dortmund, Chelsea, Paris Saint-Germain (PSG) dan Bayern Munich.

Pada 2021, Tuchel membawa Chelsea menjuarai Liga Juara-Juara dan memenangi gelaran liga bersama Bayern dan PSG.

Iklan

"Kami memerlukan trofi - sesederhana itu. Kami memerlukan pengurus yang boleh membawa pulang trofi tersebut.

"Tiada keraguan (Tuchel) mempunyai rekod CV yang luar biasa, tetapi ini akan menjadi ujian yang sangat berbeza untuknya. Ini adalah langkah berani daripada FA (Persatuan Bolasepak England), tiada keraguan mengenainya.

"Dia mesti memenangi kejohanan, itulah sebabnya dia dilantik. Mereka (FA) telah melihat kumpulan pemain ini sebagai yang terbaik England pernah ada sejak sekian lama," kata Shearer dalam podcast The Rest Is Football.

Pelantikan Tuchel telah mendapat sedikit kritikan kerana keputusan tidak melantik jurulatih tempatan.

Lee Carsley dinaikkan pangkat daripada tugasnya sebagai pengurus pasukan bawah 21 (B-21) tahun England untuk mengambil alih sementara dalam empat perlawanan terakhir skuad senior.

Tuchel tidak akan memulakan kontraknya sehingga 1 Januari 2025, yang bermakna Carsley akan memimpin England sekali lagi untuk perlawanan Liga Negara-Negara menentang Greece dan Republik Ireland bulan depan.

"Tuchel pasti telah melihat pasukan ini dan berfikir terdapat begitu banyak bakat, ini adalah peluang yang luar biasa untuk memenangi trofi paling hebat sekali," kata bekas penyerang England, Gary Lineker.

Namun, terdapat kekurangan calon jurulatih tempatan yang luar biasa untuk jawatan itu.

Pengurus tempatan terakhir yang memenangi divisyen teratas bola sepak England adalah Howard Wilkinson sebagai pengurus Leeds pada 1992, sebelum pembentukan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Graham Potter yang tidak bekerja sejak dipecat oleh Chelsea pada April 2023, dan Eddie Howe dari Newcastle turut dikaitkan dengan jawatan tersebut.

Namun dilaporkan awal minggu ini bahawa FA juga telah merisik pengurus Manchester City, Pep Guardiola untuk mengambil alih peranan tersebut.

"Isunya ialah kita tidak mempunyai calon jurulatih tempatan yang cukup kuat untuk mengisi jawatan itu," kata bekas pertahanan England, Micah Richards.

"Saya berpendapat bahawa kita tidak memerlukan pengurus tempatan, hanya dapatkan orang terbaik untuk kerja itu. Saya fikir Tuchel adalah pengurus yang cemerlang, seorang pemenang yang terbukti."