PM Anwar tinjau persiapan akhir Belanjawan 2025

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa meninjau persiapan akhir Belanjawan 2025 di Kementerian Kewangan di sini. Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa meninjau persiapan akhir Belanjawan 2025 di Kementerian Kewangan di sini.

Anwar yang tiba kira-kira 9.40 pagi disambut oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Iklan
Iklan

Turut menyambut Perdana Menteri ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Anwar seterusnya bergambar dengan pengurusan tertinggi setiap kumpulan yang terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2025 di lobi utama Kementerian Kewangan.

Iklan

Seramai 213 orang terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2025 terdiri daripada Pasukan Cukai; Pasukan Fiskal dan Ekonomi; Pasukan Pejabat Belanjawan Negara; Pasukan Belanjawan 2025; Pasukan Infografik Belanjawan 2025; Pasukan Terjemahan Belanjawan 2025; Gear-up dan Pasukan Portal Manfaat.

Perdana Menteri kemudian bergerak ke sesi lawatan di ruang operasi Belanjawan 2025 di Dewan Utama.

Iklan

Semasa tinjauan kira-kira setengah jam itu, Perdana Menteri turut beramah mesra dengan petugas yang terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2025 di Dewan Utama di lobi Kementerian Kewangan.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, Belanjawan 2025 disasarkan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan memajukan pembangunan negara.

Perdana Menteri akan membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen pada 4 petang esok. - Bernama