Kes khalwat Aliff Aziz, Ruhainies Februari tahun depan

Iklan
Ruhainies dan Aliff hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Khamis bagi prosiding kes khalwat, tujuh bulan lalu.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perbicaraan kes khalwat membabitkan pelakon, Aliff Aziz dan Ruhainies di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, ditetapkan pada Februari tahun depan.

Hakim Syarie, Abu Suffian Abu Yaziz menetapkan perkara itu selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan tarikh-tarikh yang dicadangkan.

Iklan
Iklan

"Mahkamah menetapkan perbicaraan dibuat pada 20 dan 27 Februari 2025," kata Hakim Syarie Abu Suffian.

Kes ini dikendalikan pendakwaan syarie dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Masroha Duki manakala pasangan artis berkenaan diwakili peguam syarie, Abdul Hadi Mohamad Salleh dan Muhammad Amirul Ashraf A Ghani.

Iklan

Semasa prosiding, Masroha berkata, pendakwaan syarie telah menyerahkan salinan senarai saksi yang akan memberi keterangan dalam perbicaraan kes ini, kepada mahkamah dan pihak pembelaan.

"Susulan itu, jika tiada bantahan, kami mohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan kes ini," katanya.

Iklan

Sementara itu, Muhammad Amirul Ashraf mengesahkan pihaknya telah menerima salinan senarai saksi berkenaan.

Bagaimanapun, beliau memohon kepada mahkamah, supaya pihak pendakwaan syarie dapat menyerahkan dokumen lain antaranya fakta kes tangkapan lebih awal.

"Kami akan membuat permohonan secara rasmi kerana mahu meneliti serta menyemak dokumen kes sebelum perbicaraan bermula," katanya.

Mengulas mengenai perkara itu, Masroha berkata, fakta kes dan dokumen hanya akan dikemukakan semasa sesi perbicaraan kelak, iaitu setelah rekod terbabit disahkan saksi-saksi.

Setelah mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim Syarie berkata, kes berkenaan masih di peringkat awal dan belum memasuki fasa prima facie.

"Saya berpendapat, penzahiran dokumen perlu dibuat semasa bicara kelak," katanya.

Pada 3 Julai lalu, Aliff dan Ruhainies mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, atas satu pertuduhan berkhalwat di sebuah kondominium, pada tujuh bulan lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa berada bersama orang Islam yang bukan isteri, suami atau mahram, dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak, bahawa mereka membuat perbuatan tidak bermoral.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Bukit Bintang di sini, pada jam 12.35 pagi, 9 Mac lalu.

Pertuduhan terhadap Aliff dibuat mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 iaitu khalwat, sementara Ruhainies, Seksyen 27 (b) akta sama.

Sesyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika sabit kesalahan.

Kes ini dikendalikan pendakwa syarie dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Masroha Duki dan Mohd Nahar Mohamad manakala pasangan artis berkenaan diwakili peguam syarie, Abdul Hadi Mohamad Salleh dan Muhammad Amirul Ashraf A Ghani.

Pada 9 Mac lalu, Aliff terpalit kontroversi apabila dia dicekup berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara bersama pelakon, Ruhainies.

Isteri, Aliff iaitu Bella Astillah kemudiannya memfailkan penceraian secara ekspres, namun pelakon itu enggan menceraikannya pada sebutan kes pada 4 April lalu.

Bagaimanapun, pada 13 Jun lalu, Aliff menceraikan Bella dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini.

Mereka yang melangsungkan perkahwinan pada 9 September 2016, dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.