Purata dua kes sehari, setahun 770 kanak-kanak dilaporkan hilang

Iklan
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjawab soalan ketika waktu pertanyaan-pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Seramai 3,847 kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah dilaporkan hilang dari 2020 hingga September tahun ini, dengan 96 peratus kes kehilangan berjaya ditemukan semula, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 792 kanak-kanak dilaporkan hilang pada 2020, 594 orang (2021), 902 orang (2022), 779 orang (2023) dan 780 orang setakat bulan lepas.

Iklan
Iklan

"Puratanya 770 kes setahun, kurang lebih dua kes sehari. Yang menariknya, daripada 3,847 kes kanak-kanak hilang ini, yang berjaya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) jumpa semula ialah 96 peratus. Maknanya bagi setiap 100 hilang, 96 kita selamatkan dan yang meninggal dunia,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) mengenai usaha dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menangani kes kanak-kanak hilang yang dilaporkan semakin meningkat dan merekodkan sehingga dua kes sehari dari 2020 hingga 2024.

Iklan

Saifuddin Nasution berkata baki kes diklasifikasikan sebagai masih hilang.

Beliau berkata kanak-kanak hilang berusia 13 hingga 15 tahun merangkumi 54 peratus, manakala yang berumur 16 hingga 18 tahun adalah 37 peratus.

Iklan

"Paling ramai dilapor hilang ialah kanak-kanak perempuan iaitu 74 peratus dan kanak-kanak lelaki (26 peratus),” katanya.

Saifuddin Nasution berkata antara punca yang dikenal pasti berlakunya kes kehilangan berkenaan adalah disebabkan remaja yang ingin mencari kebebasan, mengikut kawan dan kekasih, serta salah faham dengan keluarga.

Beliau berkata antara usaha KDN dalam menangani kes kanak-kanak hilang termasuk menumpukan kepada pelaksanaan program kesedaran dengan sebanyak 457 program membabitkan 141,000 kanak-kanak telah dilaksanakan setakat ini.

Selain itu, platform Nur Alert dan portal akan digunakan untuk meluaskan pencarian kanak-kanak hilang dengan sokongan moral dan psikologi turut diberikan kepada keluarga.

"Syor saya ialah apabila berlaku sahaja insiden ini...jangan tunggu melepasi 24 jam, sebab ini melibatkan kanak kanak, pesan saya ialah lapor segera,” katanya. - Bernama