SHAH ALAM - Masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial bagi tujuan melancong, sebaliknya bekerja di sebuah kilang di Seksyen U8, di sini.
Kesalahan itu antara yang dikesan menerusi Op Mahir yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor bermula jam 11 pagi, Selasa lalu.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi bertindak memeriksa 182 individu termasuk 40 warga tempatan.
Katanya, hasil pemeriksaan menahan 138 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 16 wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an.
"PATI yang ditahan terdiri daripada enam warga China, Indonesia (22 orang), Nepal (31 orang), Bangladesh (51 orang), Myanmar (18 orang), Pakistan (5 orang), India (4 orang) dan seorang Sri Lanka.
"Semakan mendapati warga China itu dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di premis terbabit. Mereka memberi alasan lawatan kerja dan melancong," katanya pada Khamis.
Beliau berkata, sepanjang operasi terdapat beberapa cubaan warga asing melarikan diri selain menyembunyikan diri.
Katanya, PATI yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta yang sama selain Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"PATI ini telah dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Tegas beliau, JIM memberi peringatan kepada majikan supaya tidak menggajikan PATI dan jabatan akan mengambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan ini.