Kontraktor, anak saudara didakwa bunuh Sabari

Iklan
Kedua-dua suspek tiba di pekarangan mahkamah pada jam 8.15 pagi bagi mengikuti pendakwaan kes terhadap mereka.

KUBANG PASU - Seorang kontraktor dan anak saudaranya didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis atas pertuduhan membunuh pesara pegawai kewangan FELCRA, Sabari Baharom, 62, pada 4 September lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Nurul Huda Idris selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa ke atas Mazuan Hanafi, 38, dan Muhd Asyraf Idris, 26.

Iklan
Iklan

Kedua-dua suspek sebelum itu tiba di pekarangan mahkamah pada jam 8.15 pagi dengan kawalan ketat anggota polis.

Mengikut kertas pertuduhan, Mazuan dan Muhd Asyraf didakwa secara bersama melakukan bunuh dengan niat ke atas Sabari pada jam 5.30 pagi pada 4 September lalu.

Iklan

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di titi Kampung Empa, Sungai Padang Terap dalam daerah Kubang Pasu.

Oleh itu, mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara maksimum 40 tahun dan minimum 12 kali sebatan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim dan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Noridien serta Mohamad Rizal Fadzil, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nurul Huda kemudian menetapkan tiada jaminan dibenarkan ke atas kedua-dua tertuduh dan sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Januari tahun depan.

Pada Rabu, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh mengesahkan pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan kes bunuh Sabari dan dokumen itu sudah dirujuk kepada Khairul Anuar pada Isnin lalu.

Media sebelum ini melaporkan Sabari yang tinggal seorang diri di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling, hilang sejak 4 September dan kereta Proton Waja dinaikinya ditemukan hangus di Belantik, Sik pada 20 September.

Polis kemudian mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap berhampiran Kampung Empa di Wang Tepus, Jitra, dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat susulan penahanan dua lelaki itu.