IPOH - Lebih 1.06 juta batang rokok putih seludup dirampas dalam serbuan di sebuah kilang terbiar di Changkat Jering dekat Taiping, 10 Oktober lalu.
Serbuan jam 7.05 malam itu dilakukan Bahagian Penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak melibatkan 50,000 kotak rokok putih pelbagai jenama bernilai RM808,562.
Pengarah Kastam Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, semasa serbuan dilakukan, kilang tersebut ditinggalkan kosong dalam keadaan semak samun tanpa bekalan elektrik.
Menurutnya, siasatan kemudiannya menemui 100 peti kotak yang di dalamnya menyimpan 1,062,500 batang rokok disyaki barangan terlarang.
"Pemeriksaan mendapati semua rokok tersebut tidak mempunyai pelekat setem cukai dan maklumat berkaitan pengimport mengikut syarat Perintah Duti Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
"Bagaimanapun kita sedang mengesan individu dan sindiket terlibat termasuk pemilik kilang berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di JKDM Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan di sini pada Khamis.
Beliau berkata, semua bekalan rokok tersebut dipercayai dibawa masuk melalui pintu masuk sempadan atau perairan pantai negeri bagi tujuan pasaran di seluruh Perak.
Katanya, modus operandi sindiket itu juga dikesan akan menggunakan premis yang tidak berpenghuni atau ditinggalkan sebagai stor penyimpanan.
"Rampasan barang seludup membabitkan rokok ini adalah yang terbesar dihasilkan JKDM Perak setakat ini.
"Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.
Orang ramai digesa terus memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855.