TEMERLOH - Projek tebatan banjir di Pahang terutama di Temerloh perlu mendapat perhatian khusus dan disegerakan ekoran situasi banjir di daerah tersebut.
Ahli Dewan Negara, Senator Mohd Hasbie Muda berkata, langkah tersebut wajar dilaksanakan demi kesejahteraan penduduk yang terpaksa berdepan pelbagai masalah dan kerugian besar setiap kali banjir.
"Projek itu dalam pelaksanaan oleh kerajaan cuma proses perkembangan memang kita harap ia disegerakan.
"Seperti di Temerloh, ada projek tebatan di Sungai Semantan dekat Kampung Tanjung Kerayong dan Temerloh antara menerima peruntukan yang terbesar untuk tebatan banjir.
"Jadi projek ini harap disegerakan kerana hampir tiap tahun kena (banjir) dan bukan biasa-biasa di Temerloh ini umpama di Kampung Batu Kapor rumah penduduk tenggelam," katanya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) ditemui selepas melawat dan menyantuni mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan pada Rabu.
Ujarnya, Pemuda Amanah juga menyokong penuh titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggesa agar projek tebatan banjir di negeri ini disegerakan.
"Dengan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan nanti, kita berharap terdapat pengumuman khusus untuk Temerloh terutama dalam mengatasi dan menguruskan bencana banjir," katanya.
Beliau juga berharap pemantauan projek tebatan banjir di seluruh negara dapat dibuat dengan teliti selaras dengan hasrat Kerajaan Madani.
Dalam pada itu, Mohd Hasbie meminta penduduk yang menjadi mangsa banjir mendaftar untuk memastikan mereka tidak tercicir daripada mendapat Bantuan Wang Ihsan (BWI).
"Cuma kita berharap masyarakat atau rakyat ada integriti iaitu mereka yang tidak terjejas tidak buat tuntutan palsu kerana kalau disiasat akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang," tambahnya.