Pendakwaan pertikai cuti sakit, Tun Daim masuk hospital

Iklan
Tun Daim dimasukkan ke hospital Assunta dan menerima sijil cuti sakit.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pihak pendakwaan bagi kes gagal mengisytiharkan harta membabitkan Tun Daim Zainuddin, mempersoalkan sijil cuti sakit dan ketidakhadiran bekas Menteri Kewangan itu di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How berkata, pihak pembelaan hanya memberitahu Daim, 86, dimasukkan ke hospital Assunta dan menerima sijil cuti sakit.

Iklan
Iklan

"Mereka tidak menyatakan alasan tertuduh dimasukkan ke hospital, maka kami minta pihak perubatan memberi laporan penuh mengenai keadaan Tun Daim, termasuk doktor yang merawatnya.

"Kita juga mahu jururawat yang menandatangan sijil cuti sakit itu, hadir ke mahkamah untuk memberi penjelasan mengenai keadaannya,” kata Chin How.

Iklan

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry berkata, berdasarkan rekod mahkamah, bekas pemimpin kanan UMNO itu hadir ke mahkamah sekali sahaja sejak didakwa di mahkamah pada Januari lalu.

Beliau berkata, perkara itu memberi kesan memandangkan tertuduh gagal mematuhi arahan yang telah diberikan oleh mahkamah.

Iklan

"Alasan tertuduh itu tidak boleh dijadikan satu sandaran, kerana ia tidak mengikut pekeliling atau arahan Ketua Hakim Negara.

"Sijil cuti sakit itu tidak menyatakan Daim tidak boleh hadir ke mahkamah hari ini, selain tandatangan pada sijil tersebut ialah daripada jururawat dan bukannya pengamal perubatan,” katanya.

Susulan itu Mohamad Fadhly berkata, mahkamah perlu memberi arahan tegas kepada tertuduh berhubung isu berkenaan.

Bagaimanapun, peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili usahawan itu mengesahkan bahawa anak guamnya telah dimasukkan ke hospital terbabit.

"Ini salah faham, kami mohon pendengaran permohonan pendakwaan agar beliau menjalani pemeriksaan mental ditangguhkan.

"Ia bukan kerana Tun Daim masuk hospital, sebaliknya kerana saya baharu dilantik sebagai peguam,” katanya.

Selain itu beliau berkata, pembelaan telah menerima arahan untuk meminda notis permohonan Daim untuk merujuk persoalan undang-undang sebelum dimasukkan ke hospital.

Disebabkan perkara itu, beliau berkata, pembelaan memerlukan masa tambahan bagi menyediakan hujahan.

Selepas mendengar permohonan daripada semua pihak, Hakim, Azura Alwi berharap, isu ketidakhadiran Daim ke mahkamah tidak diperbesarkan, kerana mahkamah telah mengeluarkan perintah supaya kehadiran Daim dikecualikan pada prosiding ini.

"Mahkamah menetapkan 20 November depan untuk pendengaran permohonan pendakwaan untuk tertuduh menjalani pemeriksaan mental,” katanya.

Pada 27 Ogos lalu, pihak pendakwaan memohon agar Daim menjalani pemeriksaan mental bagi memastikan beliau layak dibicarakan atau sebaliknya.

Pendakwaan menghujahkan, permohonan dibuat kerana tertuduh sering memohon dikecualikan kehadiran pada prosiding mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membangkitkan isu undang-undang mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah, yang kesihatan mental terkini tertuduh perlu diperiksa untuk memastikan sama ada beliau boleh memberikan arahan dan memahami pertuduhan dihadapinya.

Daim, 86, dan Na'imah, 67, masing-masing menghadapi pertuduhan gagal mengisytiharkan 70 harta dan 12 harta manakala kedua-dua kes dijadual dibicarakan di hadapan Hakim Azura.

Pada 29 Januari lalu, Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin didakwa atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.