Sistem perparitan tidak sempurna punca sekolah kerap banjir

Iklan
Khairudin (tiga dari kanan) melihat keadaan sebenar masalah banjir di SMK Lambor Kiri. Foto: Ihsan FB Khairudin Abu Hanipah

PARIT - Sistem perparitan dalaman tidak sempurna dan tidak diselenggara dengan baik menjadi punca sering berlakunya banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lambor Kiri di sini sejak sedekad lalu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, faktor kawasan sekolah yang merupakan tapak sawah padi dan persekitaran yang dikelilingi ladang kelapa sawit menyebabkan air larian hujan mengalir masuk ke kawasan sekolah.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, struktur sistem perparitan sedia ada jenis parit tanah tidak mampu untuk menampung air larian hujan yang banyak.

Khairudin menghadiri perjumpaan bersama Pegawai Daerah, Jabatan Pendidikan Negori (JPN), bersama wakil-wakil agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi membincangkan isu tersebut. Foto: Ihsan FB Khairudin Abu Hanipah

"Oleh itu, air larian dalam sekolah tidak dapat keluar dengan sempurna ke parit buang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Iklan

"Selain itu, sekolah ini juga terletak berhampiran dengan terusan utama bagi pengairan Seberang Perak yang mana ketika musim menanam padi, air perlu disalurkan ke petak sawah yang akan menyebabkan berlakunya kenaikan aras air di sepanjang jajaran terusan utama tersebut," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

"Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga akan buat permohonan peruntukan kecemasan untuk perlaksanaan kerja-kerja segera di dalam kawasan sekolah," katanya.

Masalah banjir di SMK Lambor Kiri telah berlarutan lebih sedekad.

Iklan

Tambah Khairudin, JPS Daerah Perak Tengah telah melaksanakan pelbagai inisiatif mengurangkan impak banjir sekolah berkenaan.

"JPS telah memasang dua pintu kepak pada 7 Oktober 2022 dan 25 Ogos 2023 di kawasan parit buang.

"Selain itu, pemasangan pam mudah alih untuk mengeluarkan air bertakung telah dilaksanakan minggu lalu," katanya.

Sinar Harian melaporkan masalah banjir di SMK Lambor Kiri menggusarkan ibu bapa dan warga sekolah berkenaan berikutan keadaan itu akan menjejaskan sesi pembelajaran.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Lambor Kiri, Megat Mahmud Megat Yussof berharap isu itu mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang pembentangan Belanjawan 2025 berikutan aduan telah disalurkan kepada JPS, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Pendidikan Malaysia.