Jalan Pudu, Loke Yew lokasi persundalan baharu di Kuala Lumpur

Iklan
Dr Zaliha

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mendedahkan kedai makan dan medan selera sekitar Jalan Pudu serta Loke Yew menjadi kawasan tumpuan aktiviti persundalan terbaharu di ibu negara.

Dr Zaliha berkata, modus sindiket bertambah kreatif dengan menjadikan premis tersebut sebagai lokasi mengiklankan perkhidmatan terkutuk itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lokasi yang dikenal pasti oleh KL Strike Force itu menjadi cabaran dalam usaha membanteras kegiatan persundalan yang sudah mula berpindah daripada premis konvensional kepada platform digital.

"Lebih-lebih lagi apabila rumah inap, hotel dan kediaman peribadi turut dijadikan sarang aktiviti ini.

Iklan

"Dalam hal ini, kerajaan menyeru supaya komuniti setempat menjadi ‘mata-mata’ dan melaporkan aktiviti seumpama ini kepada Adu@KL 2.0 atau mana-mana saluran aduan agensi yang menjadi ahli KL Strike Force.

"Aduan boleh dilakukan dengan begitu mudah iaitu menggunakan hashtag #KLStrikeForce di hantaran media sosial,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) dan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai jumlah premis berkaitan pelacuran dan tindakan penguatkuasaan bagi membanterasnya.

Dalam pada itu, Dr Zaliha menegaskan adalah tidak tepat mengatakan tiada pengurangan ke atas kes persundalan di Kuala Lumpur kerana data tahun 2023 menunjukkan hanya 159 serbuan dan 540 tangkapan sahaja berbanding suku ketiga tahun ini.

"Ingin saya kongsikan statistik semenjak penubuhan KL Strike Force, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi penguatkuasaan telah menyerbu sebanyak 209 buah premis yang menawarkan perkhidmatan persundalan.

"Statistik serbuan bermula dari tarikh 27 Mei 2024 sehingga 30 September 2024 menunjukkan seramai 781 orang telah ditangkap terdiri daripada 149 orang warga tempatan dan diikuti 632 orang warganegara asing berusia lingkungan 18 hingga 61 tahun,” ujarnya.

Tambah beliau, tindakan pembanterasan giat dijalankan bagi menyekat aktiviti persundalan terutama di kawasan yang dikenal pasti berpotensi dalam menawarkan aktiviti itu.

"Tiada tindakan pilih kasih, sama ada penawaran persundalan golongan elit mahupun golongan bawahan, akan diambil tindakan yang sama,” tegasnya.