Skandal perlombongan pasir: SPRM sita wang tunai RM600,000

Iklan
Azam. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemukan wang tunai berjumlah RM600,000 setelah menggeledah sebuah premis dipercayai ada kaitan dengan ahli politik berpengaruh pada Rabu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, serbuan dilakukan SPRM itu susulan siasatan kes Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) yang berkaitan konsesi perlombongan pasir dilakukan menerusi syarikat cabang pelaburan negeri itu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, wang tersebut ditemukan di sebuah kediaman, setelah SPRM pada Rabu bertindak menggeledah enam premis dipercayai menyimpan bahan kes.

"Seperti anda tahu, ada enam buah premis telah digeledah oleh SPRM dan kita telah menyita wang sebanyak RM600,000 dipercayai mempunyai kaitan dengan ahli politik disyaki.

Iklan

"Wang tersebut ditemukan di sebuah kediaman di Lembah Klang," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya SPRM Bersama Bank-bank Komersial.

Iklan

Sementara itu, Azam berkata, pihaknya telah mendapat perintah reman selama enam hari terhadap seorang lagi individu berusia 45 tahun yang juga merupakan bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) MBI.

Menurutnya, suspek tersebut sebelum ini pernah ditahan reman selama sehari oleh SPRM bersama seorang lagi suspek.

Katanya lagi, SPRM telah mendapat permohonan reman selama tujuh hari terhadap COO tersebut pada Khamis bagi membantu siasatan.

Ditanya sama ada terdapat premis yang digeledah itu milik suspek, Azam berkata, hampir kesemua premis merupakan kediaman yang bukan milik suspek.

"Hampir semua rumah atau premis yang digeledah bukan milik suspek dan ada antaranya adalah rumah sewa dan sebagainya," ujarnya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan SPRM menggeledah enam premis berhubung siasatan skandal rasuah perlombongan pasir yang dikaitkan dengan MBI.

Bagaimanapun laporan pada Rabu itu tidak mendedahkan hasil penemuan penggeledahan di enam premis tersebut iaitu membabitkan sebuah kediaman dan lima unit pejabat di sekitar Lembah Klang.