Banjir kali ini mirip peristiwa 10 tahun lalu

Iklan
Saarani ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Perak Kali Ke-48 di Meru Raya di sini pada Khamis.

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyifatkan situasi banjir di negeri itu mirip peristiwa 2014 apabila beberapa lokasi termasuk kawasan baharu mula dinaiki air.

Beliau meminta penduduk sentiasa berwaspada sehingga hujung tahun berikutan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Iklan
Iklan

"Saya baca laporan MetMalaysia jadi kita minta semua orang berwaspada sehingga hujung tahun.

"Fenomena banjir kali ini mirip tahun 2014, tetapi banjir tahun itu ia berlaku secara serentak tapi kini kita lihat banjir berulang berlaku di tempat sama dan tempat baru," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Perak Kali Ke-48 di Meru Raya di sini pada Khamis.

Saarani menyaksikan majlis menandatangani (MoU) yang diadakan pada Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Perak Kali Ke-48 di Meru Raya.

Iklan

Pada tahun 2014, seramai 7,587 mangsa daripada 1,972 keluarga berlindung di 56 pusat pemindahan di empat daerah di Hulu Perak, Perak Tengah, Kerian dan Kuala Kangsar.

Susulan itu, Saarani meminta semua pegawai daerah dan jabatan berkaitan bersiap siaga dalam membantu penduduk yang terjejas.

"Hujan turun tanpa diduga dengan peningkatan jumlah dan intensiti serta kekerapan kini.

"Jadi, penduduk yang tinggal berhampiran sungai, anak sungai atau saliran termasuk di kawasan bandar perlu berhati-hati," katanya.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak memaklumkan seramai 1,341 mangsa daripada 427 keluarga terkesan dengan banjir setakat jam 2 petang dengan 12 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka.

Daerah Kuala Kangsar mencatatkan jumlah mangsa paling ramai dengan 911 orang dari 284 keluarga diikuti Hilir Perak (170), Perak Tengah (144), Kerian (75) dan Kampar (41).