PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan tradisi menggunakan hasil kreatif kraftangan tempatan untuk membawa dokumen penting Belanjawan 2025.
Menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis, Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan kerja seni tenunan songket itu dihasilkan oleh Adiguru Rasiah Yusoff dari Kampung Tikat Penambang, Kelantan.
"Tenunan songket membawa nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung dan ia bersesuaian dengan peri pentingnya dokumen Belanjawan 2025 ini selain mengangkat martabat serta melambangkan kedudukan tinggi si pemakai," katanya.
Beg yang direka oleh Chew Kai Hung dari Pulau Pinang itu turut menerapkan kombinasi sari pada bahagian lapisan dalamnya.
Terdahulu, Anwar tiba di Kompleks Perbendaharaan Presint 2, jam 9.40 pagi bagi meninjau persiapan akhir Belanjawan 2025 serta menandatangani beberapa dokumen berkaitan.
Pada 7 Oktober lalu, Anwar telah menandatangani dokumen rasmi Belanjawan 2025 dan dilapor berkata, kerajaan akan memberi tumpuan kepada isu inflasi dan menaikkan tahap pendapatan.
Menurutnya, isu kos sara hidup sentiasa menjadi kebimbangan rakyat dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberikan keselesaan kepada rakyat yang terkesan.
Pembentangan di Dewan Rakyat dijadual bermula jam 4 petang Jumaat.
Dengan tema 'Ekonomi Madani Negara Makmur, Rakyat Sejahtera,” ia adalah belanjawan ketiga oleh kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.