Lima ahli sindiket ditahan bersama 26,233 gram ganja

Iklan
Polis merampas 26,233 gram ganja bernilai RM115,000 dalam empat serbuan yang dibuat antara 15 hingga 16 Oktober di George Town.

GEORGE TOWN - Lima ahli sindiket pengedaran dadah termasuk tiga wanita ditahan bersama 26,233 gram ganja bernilai RM115,000 dalam empat serbuan secara serentak di beberapa kawasan di Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, dua lelaki dan tiga wanita warga tempatan itu ditangkap dalam serbuan yang diadakan antara jam 4 petang, 15 Oktober hingga 5 pagi, 16 Oktober.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua suspek berusia lingkungan 24 hingga 36 tahun ditahan di kawasan parkir di sini dalam operasi terancang oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

Dadah jenis ganja yang dirampas dalam serbuan kedua oleh Polis Pulau Pinang pada 15 Oktober.

"Dalam serbuan yang diadakan, kita berjaya menahan lima ahli sindiket pengedaran ganja yang aktif di negeri ini. Hasil tangkapan itu, kita merampas tiga beg berzip yang mengandungi 35 bungkusan plastik lut sinar mengandungi 20,132 gram ganja bernilai RM65,960.

Iklan

"Susulan daripada itu, polis kemudiannya pergi ke sebuah rumah di kawasan Ayer Itam dan merampas tiga bungkus plastik lut sinar berisi tumbuhan-tumbuhan kering iaitu ganja seberat 1,501 gram bernilai rm18,640," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Tambah Hamzah, di rumah yang sama, polis turut merampas sembilan bungkusan berisi 4,600 gram ketulan mampat ganja bernilai RM30,400.

Iklan

"Hasil risikan mendapati, sindiket ini bergiat aktif sejak pertengahan tahun ini untuk pasaran tempatan. Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh 135,000 orang penagih sekiranya terlepas ke pasaran.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah manakala dua daripada mereka mempunyai rekod lampau melibatkan kesalahan dadah," jelasnya.

Menurut beliau, kesemua suspek direman tujuh hari bermula 16 sehingga 22 Oktober ini untuk siasatan lanjut.

"Kita turut menyita sebuah motosikal Yamaha 135LC bernilai RM5,000 menjadikan jumlah keseluruhan sitaan dan rampasan dadah adalah RM120,000.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan," katanya.