'Banjir di KL, Perak, Pulau Pinang, tak ada pembalakan pun' - Sanusi

Iklan
Sanusi ketika berucap merasmikan sambutan Hari Kanak-kanak, Hari Orang Kurang Upaya dan Hari Warga Emas peringkat negeri di Seri Mentaloon.

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menepis dakwaan segelintir pihak yang sering mengaitkan banjir di negeri ini dengan aktiviti pembalakan.

Beliau berkata, pihak terlibat ibarat menangguk di air keruh apabila cuba menyalahkan kerajaan negeri yang didakwa memberi kelulusan baharu aktiviti pembalakan sehingga menyebabkan berlaku banjir lumpur di beberapa daerah di negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tiada kelulusan baharu kawasan pembalakan sejak beliau dilantik menjadi Menteri Besar, hanya kelulusan penebangan dikeluarkan Jabatan Perhutanan kepada syarikat konsesi yang telah membayar premium kepada kerajaan negeri.

"Setiap kali berlaku banjir di negeri ini, muncul lah pihak yang cuba kaitkan bencana tersebut dengan pembalakan, sedangkan banjir pun berlaku di negeri lain. Banjir di Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, tak ada pembalakan pun.

Iklan

"Saya tengok (di media sosial), mereka dakwa lesen lulus pada tahun 2023, sebenarnya lesen yang dimaksudkan itu diluluskan pada 2016. Tahun 2023 adalah lesen tebangan, bukan lesen kelulusan pembalakan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Kanak-kanak, Hari Orang Kurang Upaya dan Hari Warga Emas peringkat negeri di Seri Mentaloon pada Khamis.

Sanusi (dua dari kanan) melawat ruang pameran yang mempamerkan pelbagai produk sempena sambutan Hari Kanak-kanak, Hari Orang Kurang Upaya dan Hari Warga Emas peringkat negeri.

Sanusi menjelaskan, kesemua kawasan konsesi yang diluluskan merupakan kelulusan pada tahun 2011 sehingga 2020.

Iklan

"Setiap tahun Jabatan Perhutanan akan proses lesen tebangan berdasarkan kuota yang diluluskan oleh Majlis Tanah Negara. Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Kedah diberi 4,200 hektar setahun boleh tebang dan Jabatan Perhutanan akan keluarkan lesen tebangan.

"Contohnya, syarikat itu dapat kelulusan pada 2016 kemudian dibayar premium dan buat tandaan sempadan, kemudian dapat lah lesen tebangan,” katanya.

Sanusi menegaskan, tiada pembukaan ladang hutan baharu termasuk dakwaan berlaku penebangan 'cuci mangkuk' di Hutan Simpan Ulu Muda.

"Kawalan kepada aktiviti pembalakan adalah Jabatan Perhutanan berdasarkan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan.

"Jangan asyik nak hentam orang saja. Semua ikut prosedur dan proses yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Perhutanan,” ujarnya.

Menurutnya, apa yang dibangkitkan beberapa NGO alam sekitar bukanlah perkara baharu malah kerajaan negeri juga telah beberapa kali menjelaskan perkara sama, namun masih dijadikan isu.

"Berkenaan ladang hutan, tanam durian dibangkitkan lagi, bukan ada benda baru, semua yang lama. Jadi bila pokok itu dah ditanam, tak kan saya nak pergi tebang pokok durian itu? Gila ka? Kalau kita gila, jangan anggap orang lain pun gila juga,” katanya sinis.

Mengulas mengenai banjir lumpur yang melanda daerah Baling dan Sik, Sanusi berkata, kawasan hutan yang dicerahkan berisiko mengalami hakisan dan pihak berwajib akan memastikan ia tidak mengundang kerosakan teruk.

"Tempat (negeri) lain pun berlaku banjir lumpur, banyak faktor. Hukum alam ALLAH SWT cipta begitu, alam ini bekerja berdasarkan apa yang ALLAH SWT ciptakan, kita uruslah elok-elok.

"Jabatan Perhutanan bersama pakar-pakar jabatan teknikal, alam sekitar buat kerja mereka. Mereka akan bagi nasihat. Semua perkara ada pakar-pakar yang beri pandangan. Janganlah kalau kita tahu sikit-sikit, kita buat macam kita tahu semua.

"Saya sendiri dapatkan penjelasan daripada Pengarah Jabatan Perhutanan,” jelasnya lagi.

Sanusi memaklumkan, tiada kelulusan baharu dikeluarkan di Hutan Simpan Rimba Teloi, sebaliknya kelulusan dibuat antara tahun 2011 hingga 2017.

"Situ sahaja kelulusan ladang hutan sebanyak 4,000 hektar. Dalam hutan tersebut, semua 28,000 hektar, yang mana 10,000 hektar sudah ditebang. Ada 18,000 hektar lagi kita tahan dahulu selagi belum ada EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar) kita takkan benarkan walaupun kelulusan dahulu sudah ada,” jelasnya.

Sebelum ini, Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS) Kedah mendakwa aktiviti pembalakan yang sedang dilakukan di kawasan hutan simpan menjadi antara penyumbang kepada banjir teruk yang melanda Sik dan Baling.

Pengerusi GRASS, Mohd Sobri Ramlee berkata, hutan yang digondolkan seperti di Hutan Simpan Rimba Teloi dan Bukit Enggang yang dijadikan ladang hutan menyebabkan tiada lagi pokok berfungsi sebagai penahan air hujan.

Menurutnya, kawasan hutan berkenaan sebahagiannya dijadikan ladang durian musang king, ladang solar serta aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE).