3 lelaki warga Sierra Leone jual wang palsu diberkas

Iklan
Ramli menunjukkan barangan yang dirampas.

KUALA LUMPUR - Taktik licik tiga lelaki warga Sierra Leone membeli wang palsu melalui laman sosial sebelum menjual semula kepada pembeli di Malaysia terbongkar selepas mereka diberkas dalam serbuan di sebuah kondominium di ibu kota pada 2 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tiga suspek berusia 20 hingga 30 tahun itu membeli wang palsu pada harga RM6.97 untuk 10,000 keping.

Iklan
Iklan

"Mereka akan menjual semula wang palsu itu kepada pembeli dengan harga RM1,000 untuk 10,000 keping," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ, di sini, pada Khamis.

"Dalam serbuan berkenaan, kita merampas empat keping nota AS$100, dua keping kertas kosong bersaiz nota AS$100, satu kotak berwarna perak, empat unit telefon bimbit, pasport dan dua buah kereta jenis Naza Forte dan Proton Iriz," katanya.

Iklan

Beliau berkata, siasatan setakat ini mendapati ketiga-tiga suspek yang ditahan itu telah masuk ke Malaysia sebagai pelajar di sebuah universiti swasta di Selangor.

"Dua daripada mereka telah masuk ke Malaysia sejak 2022 dan seorang lagi pada tahun ini," katanya.

Iklan

Ramli berkata, kesemua individu itu ditahan direman sehingga 21 Oktober ini untuk membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

"Siasatan kes turut dijalankan di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan,” ujarnya.