KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan yang dibentangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) diluluskan dalam persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.
RUU tersebut yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada Mac lalu, diluluskan dengan majoriti dua pertiga ahli Parlimen selepas ia dibahaskan oleh 70 wakil rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan perkara itu selepas undi belah bahagi dilakukan.
Menurutnya, seramai 206 ahli Parlimen bersetuju untuk meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024, sementara seorang tidak bersetuju dan 14 lagi tidak hadir.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat 16 Oktober sebanyak 19,317 permohonan kewarganegaraan telah diluluskan bagi tahun 2024.
"Setakat semalam, saya masih menandatangani dan membuat keputusan (meluluskan) sebanyak 19,317 permohonan.
Pada masa sama, Saifuddin turut memaklumkan bahawa kementerian akan turut membangun prosedur operasi standard (SOP) terutama bagi permohonan paling tinggi iaitu 15A berkait anak tidak sah taraf, anak angkat, anak jagaan, dan 19(1) iaitu permohonan naturalisasi.
Menurutnya, SOP bagi kedua-dua fasal itu siap dan telah disediakan serta diberi kelulusan oleh Jemaah Menteri.
Dalam pada itu, Saifuddin turut menyentuh mengenai penguasaan bahasa Malaysia, katanya, syarat tersebut hanya diketatkan kepada kumpulan pemohon yang berusia antara 40 dan 60 tahun.
"Untuk itu, (pemohon) umur 90 dia kata nak mati di sini (Malaysia) dan tujuan dia untuk memiliki MyKad adalah mendapatkan bantuan kerajaan, (maka) syarat bahasa dan ujian bahasa itu bukan pertuturan biasa seperti temu duga, tetapi kita mainkan foto dan itu membantu," ujarnya.
Pindaan itu antara lain memperuntukkan hak sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan dengan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.