Pengsan ketika disebat, mahkamah ketepi baki sebatan warga India

Iklan
Mahkamah Persekutuan mengetepikan baki sebatan yang dikenakan ke atas seorang warga India bagi kesalahan mengedar dadah selepas dia pengsan ketika kali pertama menjalani hukuman itu. Foto hiasan

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan baki sebatan yang dikenakan ke atas seorang warga India bagi kesalahan mengedar dadah selepas dia pengsan ketika kali pertama menjalani hukuman itu.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, yang bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Nordin Hassan, Datuk Abu Bakar Jais, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Najmudeen Abdul Kader.

Iklan
Iklan

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim memaklumkan bahawa pendakwaan tidak membantah permohonan Najmudeen, 39, untuk membatalkan baki 11 sebatan yang dikenakan ke atasnya selepas lelaki itu tidak dapat menjalani hukuman tersebut kerana hipertensi dan telah pengsan semasa kali pertama disebat.

Beliau berkata, justeru itu, pendakwaan tidak membantah permohonan Najmudeen yang dibuat mengikut Seksyen 291(1) Kanun Tatacara Jenayah atas alasan kesihatan.

Iklan

Iznina berkata, pendakwaan juga tidak akan memohon hukuman itu diganti dengan tempoh pemenjaraan tambahan.

Pada 21 Jun lepas, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan permohonan Najmudeen di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 serta menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya dengan penjara 30 tahun dan 12 sebatan.

Iklan

Najmudeen didapati bersalah mengedar 4.04 kilogram ketamin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 8 Ogos 2008.

Panel sama turut mebenarkan permohonan serupa yang dikemukakan oleh bekas pekerja kedai tayar Muhammad Irshaduddin Khalis Nasurudin, 32.

Iznina memaklumkan mahkamah bahawa Irshaduddin tidak dapat menjalani hukuman 12 sebatan yang dikenakan ke atasnya kerana kegagalan buah pinggang serta hipertensi dan pendakwaan tidak membantah permohonan itu.

Pada 7 Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan turut membenarkan permohonan Irshaduddin untuk menggantikan hukuman matinya dengan penjara 35 tahun dan 12 sebatan.

Dia didapati bersalah membunuh bekas tunangnya iaitu Nursyafikah Ahmad Ismail, 22, di kawasan parkir motosikal Pusat Beli-Belah Econsave di Jalan Mersing, Kluang, Johor antara jam 5.40 dan 5.45 petang pada 10 April 2015. - Bernama