Air pasang besar: 213 penduduk di Hilir Perak, Bagan Datuk dipindahkan

Iklan
Operasi pemindahan penduduk ke PPS susulan banjir akibat hujan lebat dan fenomena air pasang besar yang melanda daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk. Foto JBPM Perak

IPOH - Fenomena air pasang besar dan hujan lebat yang berlaku di daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk mengakibatkan 213 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang pada Khamis.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, semua mangsa daripada 67 keluarga itu berlindung di dua PPS yang dibuka pada Isnin dan Khamis.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak menempatkan 137 mangsa daripada 45 keluarga manakala 76 mangsa melibatkan 22 keluarga ditempatkan di PPS Dewan MPTI, Langkap.

"Kesemua mereka dipindahkan dari Kampung Batu 8, Kampung Batu 7, Jalan Woo Saik Hong, Kilang Kacang Langkap, Simpang Tiga Batu 9, Kampung Selabak Luar dan Batu 6 Kampung Glouster.

Iklan

Penduduk di daerah Hilir Perak yang terjejas dinasihatkan untuk berpindah ke PPS atas faktor keselamatan susulan banjir akibat hujan lebat dan fenomena air pasang besar yang melanda.

"Turut dipindahkan penduduk Kampung Permatang Pelanduk, Kunci Air 4 Sungai Tungku dan Kampung Selat Manggis Sungai Kerawai," katanya.

Iklan

Kejadian air pasang besar turut mengakibatkan bandar Teluk Intan dan beberapa laluan dinaiki air setinggi 0.3 meter hingga 0.5 meter seawal jam 5 pagi tadi.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam laman Facebook memaklumkan, laluan terlibat di Jalan Maharajalela di Simpang Tiga Anson Timber, berhampiran Kedai Sri Ayam Man, selekoh Taisen sebelum sampai Kilang Sawit Tai Seng dan Simpang Empat Batu 4.

Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hilir Perak memaklumkan fenomena air pasang besar berlaku selama tujuh hari bermula Selasa sehingga 21 Oktober dengan paras air tertinggi antara 3.1 meter hingga 3.4 meter melibatkan daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk.

Keadaan laluan dan bandar Teluk Intan yang dinaiki air akibat fenomena air pasang besar yang melanda daerah Hilir Perak pada Khamis. Foto media sosial

Agensi berkenaan menasihati orang ramai untuk sentiasa peka, berhati-hati, dan membuat persediaan awal menghadapi banjir berdasarkan ramalan oleh agensi-agensi berkaitan.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut mengesahkan melakukan pelepasan air secara terkawal dari Stesen Kuasa Empangan Chenderoh suuslan kenaikan paras empangan akibat hujan berterusan di kawasan tadahan yang luas.

Dalam pada itu, situasi banjir di Perak semakin memburuk dengan peningkatan jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS meningkat kepada 1,407 orang berbanding 1,191 orang malam tadi.

Semua mangsa daripada 450 keluarga itu ditempatkan di 12 PPS melibatkan daerah Hilir Perak, Perak Tengah, Kampar, Kuala Kangsar dan Kerian.

Menurut data diberikan JPS, paras air Sungai Bidor, Changkat Jong di Hilir Perak dan Sungai Rui di Hulu Perak melepasi tahap amaran, manakala Sungai Kinta di Kampar dan Sungai Perak di Perak Tengah telah melepasi tahap waspada.