Malaysia kutuk kekejaman berterusan Israel di Gaza

Iklan
Seorang warga Palestin memeriksa rumah yang musnah selepas ia diserang oleh tentera Israel di kem pelarian al-Nuseirat, tengah Semenanjung Gaza. Foto Xinhua

PUTRAJAYA - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan biadab dan tidak berperikemanusiaan oleh tentera Israel ke atas Hospital Syahid Al-Aqsa di Deir el-Balah dan pengepungan haram di Kem Pelarian Jabalia, menurut Kementerian Luar Negeri.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, kementerian yang juga dikenali sebagai Wisma Putra menegaskan bahawa imej ngeri mangsa dibakar dalam keadaan masih hidup hanyalah sebahagian kecil daripada jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan genosid berterusan yang dilakukan rejim Zionis Israel di Gaza.

Iklan
Iklan

"Imej sedemikian menunjukkan kempen keganasan rejim Zionis Israel yang jelas bertujuan untuk menghapuskan rakyat Palestin dan memusnahkan Gaza," menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar Negeri menyatakan malapetaka kemanusiaan di Gaza mencapai tahap yang tidak masuk akal.

Iklan

Namun rejim Zionis Israel terus menerus membuat serangan tanpa henti, melakukan pembunuhan beramai-ramai dan pada masa yang sama menjejaskan usaha antarabangsa untuk mencapai penyelesaian aman, tambahnya.

"Malaysia sekali lagi mengulangi desakan agar pembunuhan beramai-ramai di Gaza dihentikan segera," menurut kenyataan itu.

Iklan

Kementerian Luar Negeri menyatakan bahawa kegagalan untuk bertindak menghentikan kekejaman ini merupakan persekongkolan dan mengancam sebarang harapan bagi mencapai keamanan.

"Kami (Malaysia) menuntut agar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Piagam dengan memastikan rejim Zionis Israel dipertanggungjawabkan atas tindakannya serta menegakkan keutuhan undang-undang antarabangsa bagi menghentikan kekebalan Israel daripada tindakan undang-undang," tambah kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyatakan bahawa Malaysia akan terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara berdaulat sepenuhnya berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam usaha mereka mencapai kebebasan, maruah dan keadilan dan akan terus memperjuangkan hak mereka di pentas global, tambah kenyataan itu. - Bernama