Dua beranak nyaris maut, rumah sewa terbakar

Iklan
Khairul Anuar (kiri) berdiri di depan rumah sewa yang didiami sejak tujuh tahun lalu di Kampung Bukit Gedong musnah dalam kebakaran pada Khamis. Gambar kecil: Rais

MELAKA - Ibu dan anak nyaris maut apabila rumah sewa didiami mereka sejak setahun lalu terbakar 100 peratus di Kampung Bukit Gedong, Tanjung Kling, di sini pagi Khamis.

Kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, mengakibatkan dua beranak yang berasal dari Sabah itu mengalami melecur tahap dua di bahagian kaki dan tangan dan telah dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Iklan
Iklan

Jiran mangsa yang rumahnya turut musnah dalam kebakaran itu, Khairul Anuar Musa, 36, berkata, ketika kejadian dia sedang bersiap untuk ke tempat kerja manakala anaknya berusia 17 tahun berada di bahagian depan rumah.

Menurutnya, tiba-tiba dia terdengar jeritan wanita berusia 36 tahun itu yang meminta pertolongan, sebelum bergegas keluar rumah dan mendapati api sedang marak dari arah rumah jirannya itu.

Iklan

Pekerja kilang itu berkata, dia cuba untuk membantu dua beranak tersebut keluar tetapi malangnya pintu depan rumah wanita itu berkunci sebelum mereka berdua berjaya keluar melalui pintu belakang.

Rais (kanan) dan Tuminah (tengah) ketika melawat dua buah rumah sewa terbakar di Kampung Bukit Gedong, Tanjung Kling, di sini, pada Khamis.

"Api merebak dengan cepat, hinggakan saya juga tidak dapat selamatkan apa-apa barang termasuk dokumen penting anak dan kami dua beranak menyelamatkan diri dengan sehelai sepinggang.

Iklan

"Buat sementara waktu, saya tinggal di rumah ibu bapa yang terletak dalam kampung sama," katanya selepas menerima kunjungan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin di Kampung Bukit Gedong, Tanjung Kling di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi.

Jelas bapa kepada empat orang anak itu, walaupun mengalami kerugian dianggarkan RM15,000, namun bersyukur terselamat dalam insiden yang telah memusnahkan keseluruhan rumah sewa didiami sejak tujuh tahun lalu itu.

Tambahnya, ketika kejadian isterinya, Nur Emilia Mokhtar, 36, bersama tiga orang lagi anak mereka, tiada di rumah kerana mahu membuat permohonan semula bantuan di Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

"Nasib anak-anak saya yang kecil mengikuti isteri dan saya juga dimaklumkan suami jiran saya tiada di rumah kerana bekerja di Pulau Pinang," katanya lagi.

Khairul Anuar bersama anak sulungnya melihat keadaan rumah sewa mereka yang musnah dalam kebakaran pada pagi Khamis.

Sementara itu, Rais berkata, agensi berkaitan seperti MAIM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyalurkan bantuan awal bencana RM300 kepada keluarga terlibat.

Beliau berkata, pihaknya turut bersimpati dengan bencana yang menimpa dua keluarga itu dan pada masa sama akan berusaha memastikan mangsa kebakaran mendapat rumah sewa baharu demi keselesaan serta kebajikan mereka.

"Memandangkan kedua-dua rumah yang musnah adalah rumah sewa jadi kita tidak boleh membantu dari segi bina baru, namun kita bersama MAIM akan menolong meringankan beban mangsa terlibat dengan membayar kadar rumah sewa secara bulanan.

"Selain itu kita juga akan melihat keperluan-keperluan lain yang boleh membantu kerana salah salah daripada mereka merupakan penerima bantuan bulanan MAIM," katanya.