Bantuan banjir: NGO perlu rujuk PKOB elak pertindihan tugas

Iklan
Wan Rosdy (tengah) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS SK Mentakab pada Khamis.

TEMERLOH - Semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini perlu merujuk Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) setiap daerah bagi mengelakkan pertindihan tugas.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah tersebut bertujuan memudahkan kelancaran tugas di kawasan terlibat.

Iklan
Iklan

"Kita bukan nak susahkan mereka, tetapi NGO perlu merujuk kepada PKOB sebelum Pengerusi PKOB akan atur ke lokasi-lokasi supaya tidak berlaku pertindihan tugas.

"Perkara ini sudah kita laksanakan sejak dulu lagi dan sememangnya kami amat mengalu-alukan kehadiran NGO. Kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan," katanya.

Iklan
Wan Rosdy (tengah) melihat kanak-kanak yang meluangkan masa dengan permainan yang disediakan di PPS terbabit.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas lawatan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Mentakab (Chatin) di sini pada Khamis.

Sebelum itu, beliau turut melakukan lawatan sama di PPS SK Lanchang.

Iklan

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) telah menggerakkan pasukan mereka untuk kerja-kerja membersihkan rumah-rumah yang dilanda banjir.

Beliau turut berpuas hati dengan operasi PPS yang dibuka susulan maklum balas positif daripada mangsa-mangsa terlibat.

"Mereka menyatakan rasa puas hati kerana layanan yang diterima sangat baik terutama makan minum dan peralatan. Malah dari segi operasi PPS juga kita tidak mendapat sebarang rungutan.

"Jadi saya nasihatkan orang ramai dapat patuhi arahan pihak berkuasa, jika diminta pindah segeralah berpindah dan jangan balik sebelum diarahkan balik," katanya.

Ditanya jika ada perancangan pemindahan kampung-kampung yang sering dilanda banjir ke lokasi lain, setakat ini pihaknya belum bercadang melakukan tindakan sedemikian.

Jelasnya, proses terbabit ia memerlukan kajian teliti seperti mencari lokasi sesuai dan ia mengambil tempoh yang panjang.