SHAH ALAM - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak menghalang kebebasan bersuara seluruh warganya dalam memberi kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis termasuk di media sosial.
Menerusi satu kenyataan, UKM berkata, pihaknya meraikan sebarang perbezaan pendapat yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara bangsa.
Iklan
Iklan
Menurutnya, etika dan kematangan mengemukakan pandangan dan hujah harus diamalkan melalui tatacara berkomunikasi yang baik, menegur dan mengkritik secara berhemah.
"Setiap pandangan perlu disokong dengan fakta serta lingkungan disiplin keilmuan dan kepakaran.
"Sebagai institusi yang menyanjung tinggi intelektual awam, UKM sentiasa konsisten dalam menggalakkan warganya untuk bersuara berteraskan kepada tradisi ilmu dan peranannya sebagai universiti watan," katanya pada Khamis.
Sebelum ini, tular surat pekeliling UKM kepada seluruh warga akademik dan kakitangan berhubung arahan supaya pegawai awam tidak boleh mengeluarkan kenyataan awam termasuk di media sosial.
Tambah kenyataan tersebut, kenyataan awam berbentuk konstruktif amat digalakkan sebagai wadah ilmu dan disiplin keilmuan menjadi pemangkin perbincangan ilmiah dalam kalangan warga UKM.