Pemimpin Hamas, Yahya Sinwar terbunuh?

Iklan
Sinwar dilantik sebagai pengganti Haniyeh pada Ogos lalu setelah pendahulunya gugur syahid di Teheran. Foto Agensi

TEL AVIV - Rejim Zionis mendakwa Ketua Biro Politik Hamas, Yahya Sinwar terbunuh dalam operasi ketenteraan yang semakin diperhebatkan ke atas Genting Gaza.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) pada Khamis bagaimanapun memaklumkan ia sedang menyemak semula kesahihan laporan tersebut bersama agensi keselamatan Israel, Shin Bet.

Iklan
Iklan

"Seramai tiga anggota Hamas maut dalam serangan itu. Kami sedang memeriksa sama ada salah seorang daripadanya ialah Sinwar.

"Buat masa ini, identiti mereka tidak dapat disahkan," ujar IDF sambil menambah ujian DNA akan dilakukan untuk pengesahan akhir.

Iklan

Terdahulu, polis Israel memberitahu N12 kononnya pasukan forensik mereka mengenal pasti jasad Sinwar hanya berdasarkan gambar gigi beliau.

Ketika kebanyakan media antarabangsa mula berteka-teki mengenai nasib pengganti Ismail Haniyeh itu, gerakan Hamas masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan tentang perkara tersebut.

Iklan

Sebaliknya, laman web al-Majd yang biasanya menerbitkan isu keselamatan berkaitan Hamas menggesa penduduk Palestin supaya menunggu maklumat sahih tentang Sinwar dan tidak percaya bulat-bulat dengan laporan rangkaian media Israel.

Jika kematian pemimpin berusia 61 tahun itu disahkan, ia adalah pembunuhan terbaharu menyasarkan pemimpin gerakan di bawah Paksi Penentangan anti-Israel beberapa minggu selepas Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah gugur syahid di Lubnan.

Pada awal tahun lalu, Zionis pernah mendakwa kononnya telah membunuh pemimpin Briged al-Qassam, Mohammed Deif, namun dakwaan itu tidak pernah disahkan Hamas.

IDF menuduh Deif bersama Sinwar merancang Operasi Taufan al-Aqsa yang dilancarkan pada 7 Oktober 2023 yang turut memberi tamparan hebat kepada Zionis hingga ia bertindak balas membunuh penduduk Palestin dengan kejam di bawah kempen pembunuhan beramai-ramai sejak lebih setahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden turut diberikan taklimat tentang insiden itu ketika berada di dalam pesawat rasmi Air Force One semasa dalam perjalanan menuju ke Jerman untuk bertemu pemimpin Eropah bagi membincangkan konflik berlarutan Ukraine dan Asia Barat. - Agensi