Debaran menunggu berita gembira

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat. (Gambar kecil: Mohd Azman, Eaddy Sham)

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Rakyat Malaysia hari ini menanti penuh debar pembentangan Belanjawan 2025 yang diharap bakal memberi berita gembira khususnya kepada segmen masyarakat paling mudah terjejas seperti ibu tunggal dan golongan berpendapatan rendah di tengah-tengah kenaikan kos sara hidup.

Belanjawan 2025 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada jam 4 petang hari ini.

Iklan
Iklan

Peniaga makanan, Mohd Azman Ibrahim, 40, meminta kerajaan menyediakan lebih banyak bantuan kewangan dan kemudahan pinjaman yang mudah diakses.

Menurutnya, kebanyakan peniaga tidak dapat memenuhi syarat pinjaman komersial yang ketat.

Iklan

"Kalau boleh, kita hendak kerajaan bantu dari segi bantuan kewangan, pinjaman dan barangan keperluan untuk peniaga kecil seperti kami.

"Bila ada sokongan kewangan melalui pinjaman dan sumbangan lain, ia akan membantu kami peniaga untuk terus bertahan,” katanya.

Iklan

Dia yang sudah berniaga selama lebih 11 tahun di Kuantan, Pahang memberitahu, kenaikan gaji penjawat awam seperti diumumkan kerajaan sebelum ini adalah antara langkah positif kerajaan yang mampu meningkatkan kuasa beli rakyat.

"Bila gaji penjawat awam meningkat, mereka mungkin akan berbelanja lebih, dan itu boleh membawa pendapatan tambahan kepada peniaga kecil,” ujarnya.

Seorang lagi peniaga makanan, Eaddy Sham Zainul Abidin, 46, berkata, Belanjawan 2025 diharap dapat memberi perhatian khusus kepada kestabilan harga barangan asas rakyat secara keseluruhan, lebih-lebih lagi peniaga kecil.

"Barang mentah, barang kering, semua mahal belaka sekarang. Kawal harga semua barangan ini. Sebagai peniaga, barang-barang ini kami gunakan dengan banyak dan kos menjadi tinggi sebab barang mentah harganya mahal,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Wanita Kurang Upaya Malaysia, K Bathmavathi berharap, fasiliti dan kemudahan awam untuk orang kurang upaya (OKU) serta warga emas, dapat terus diberi perhatian dalam Belanjawan 2025 bagi menjamin kesejahteraan dan memberi keselesaan buat golongan itu.

Beliau berkata, ketika ini, tahap keselamatan dan kebolehgunaan kemudahan bagi golongan berkenaan masih rendah, sama ada melibatkan perkhidmatan bas, rel, lapangan terbang dan feri sekali gus menyukarkan mereka memilih perkhidmatan awam sebagai pengangkutan utama.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Abdul Kadeer pula berharap, kerajaan dapat mengembalikan cukai jualan ke atas rokok kerana ia akan menjimatkan wang yang dibelanjakan oleh ribuan keluarga untuk rokok.

Menurut beliau, kali terakhir cukai jualan dan perkhidmatan dikenakan ke atas produk tembakau adalah pada 2018, justeru pihaknya berharap cukai jualan mandatori dikenakan ke atas rokok bagi mengurangkan jumlah lima juta perokok dalam negara ketika ini.

"Berdasarkan tinjauan CAP, perokok membelanjakan kira-kira RM500 setiap bulan sedangkan makanan yang sihat tidak memerlukan wang sebanyak itu.

"Kenaikan harga rokok melalui cukai lebih tinggi terbukti berkesan dalam mengurangkan bilangan perokok di negara-negara lain tanpa mengira tahap pendapatan, malah ia juga mendorong sesetengah perokok untuk berhenti dan menghalang orang lain daripada mula menghisap rokok,” katanya.