MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad membuat satu keputusan tepat apabila mengeluarkan kenyataan bahawa tidak akan mengubah pendirian terhadap pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan bermula 1 Oktober lalu.
Beliau juga menyatakan, sebarang nasihat atau cadangan daripada industri komersial mengenai antirokok yang mahu Akta 852 ditangguhkan, tidak akan mengubah keputusan kerajaan itu.
Akta 852 merangkumi sekatan ketat terhadap pembekalan, pengiklanan, paparan dan promosi produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape.
Berdasarkan Kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023, peningkatan peratus pengguna vape amat ketara terutama dalam kalangan orang dewasa yang berusia kurang 50 tahun.
Perkembangan ini sangat membimbangkan dan kewujudan akta tersebut bertepatan dengan usaha kerajaan memastikan rakyat di negara ini hidup secara sihat.
Begitu juga dengan penggunaan vape dalam kalangan remaja telah meningkat saban tahun daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus bagi 2022.
Golongan tersebut mudah membeli produk berkenaan di kedai-kedai yang menjualnya.
Apabila Akta 852 berkuat kuasa, syarat lebih ketat terhadap peniaga rokok dan vape termasuk larangan mempamerkan produk tersebut secara terbuka di premis perniagaan.
Jika generasi muda yang bakal menjadi masa depan negara berdepan masalah kesihatan, apa akan terjadi kepada Malaysia?
Lebih-lebih lagi negara berdepan dengan peningkatan perbelanjaan bagi kesihatan yang diketahui umum kini kian meningkat saban tahun.
Selain beberapa kawasan baharu seperti premis dobi dan tempat kerja sebagai kawasan larangan merokok menjadikan keseluruhan 28 lokasi.
Bagaimanapun, program advokasi berkaitan Akta 852 perlu diperluaskan kepada semua pihak terutama rakyat agar ia mencapai matlamatnya.
Begitu juga dalam soal penguatkuasaan kerana ketika ini masih ramai yang tidak endah kepada larangan merokok di tempat yang telah digazetkan.
Satu kaedah penguatkuasaan berkesan perlu dilakukan kerana masih ramai yang merokok di kawasan larangan seperti restoran, sekali gus memberi kesan kepada mereka sekeliling.
Justeru, agensi penguatkuasaan yang terlibat perlulah lebih berani dan agresif untuk bertindak.