21 individu disyaki pengikut Syiah ditahan JHEAIK

Iklan
Tangkapan dibuat di Pendang iaitu sebuah rumah individu yang disyaki ketua Syiah di Kedah. FOTO JHEAIK

ALOR SETAR - Seramai 21 individu disyaki pengikut Syiah ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) kerana dipercayai menyeleweng dari pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dalam serbuan di sebuah rumah di Pendang pada Selasa.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Kedah, Syeikh Zainul Mukhtar Abdullah Sirajuddin berkata, penahanan membabitkan enam lelaki, sembilan perempuan dan enam lagi kanak-kanak berusia antara tiga hingga 77 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan pegawai penguatkuasa agama JHEAIK turut merampas kitab-kitab dan barangan yang dikaitkan dengan ajaran tersebut.

"JHEAIK telah menerima maklumat bahawa terdapat pengikut Syiah akan berkumpul bagi memperingati Maulid Imam Syiah Ke-11, Imam Hasan Al-Askari.

Iklan

"Pertemuan diadakan bertempat di sebuah rumah individu yang dikatakan sebagai ketua Syiah di Kedah di Mukim Tobiar, Pendang," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, JHEAIK bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan Operasi Khas Syiah pada jam 9.50 malam.

Iklan

Jelas beliau, kesemua mereka dibawa ke Pejabat Agama Daerah Pendang untuk siasatan lanjut.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9 dan 12 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 kerana menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama serta penerbitan agama yang bertentangan dengan hukum syarak," katanya.

Berdasarkan rekod, pada 15 Jun 2014, ajaran dan fahaman Syiah telah diwartakan bercanggah dan menyeleweng dari ajaran pegangan ASWJ yang menjadi teras pegangan masyarakat Islam khususnya di Negeri Kedah Darul Aman.