Khidmat sertu pelbagai industri

Iklan
SERTU merupakan elemen penting untuk mendapatkan sijil pengesahan halal Malaysia. -Foto: IHSAN SERTWO INTERNATIONAL SDN BHD

Dedikasi Sertwo International terhadap kerja-kerja sertu, mahu lahirkan ramai celik dalam bidang itu

APABILA suatu tempat dicemari najis mughallazah atau unsur-unsurnya, proses sertu perlu dilakukan bagi menyucikannya.

Walaupun bunyinya kedengaran mudah, namun tugas itu agak sukar dilakukan apatah lagi jika sekadar mengetahui teori, tetapi tidak pernah melakukan praktikalnya.

Iklan
Iklan

Masakan tidak, ia bukan hanya membabitkan cucian bersih semata-mata, tetapi perlu memenuhi tuntutan ibadah seperti diperintahkan ALLAH demi maslahat ummah.

Ketua Pegawai Eksekutif Sertwo International Sdn Bhd (Sertwo International), Nor Azwa Omar Jamli yang juga seorang jurusertu bertauliah menjelaskan, sertu dilakukan dengan tujuh kali basuhan termasuk satu kali air tanah.

Iklan

NOR AZWA

"Apabila melibatkan pencemaran dan membabitkan industri pelbagai seperti hartanah, minyak dan gas, farmaseutikal, kapal pelayaran serta lain-lain, kami bangunkan lebih 30 prosedur operasi standard (SOP) untuk tujuan ini,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Iklan

Benar, walaupun konsep cucian digunakan adalah sama dengan satu kali basuhan air tanah dan enam kali bilasan air mutlak, tetapi ujar Nor Azwa, semuanya menggunakan peralatan serta kaedah tertentu dalam pelaksanaannya.

Jika menyertu kontena misalnya, penggunaan jet air diperlukan, tetapi ia tidak digunakan apabila melibatkan rumah baharu bagi mengelakkan cat tertanggal atau berlaku kerosakan.

"Andai melibatkan mesin, kita kena pakai botol semburan dan lain-lain yang bersesuaian mengikut permukaan hendak disertu.

"Jika kita sertu saluran paip besar yang mana setiap inci dalam saluran paip itu perlu kena satu bancuhan air tanah dan enam cucian air bersih. Kita kena fikirkan cara dan teknologi sesuai untuk digunakan dalam kes sebegini.

"Sekiranya membabitkan restoran atau dapur, semua peralatan besar hingga ke perkakasan kecil seperti sudu perlu disertu. Jika membabitkan perkakasan memasak kayu seperti sudip, kita nasihatkan agar ia dibuang dan diganti baharu,” katanya yang menggunakan produk keluaran syarikatnya, Sertwo untuk melakukan kerja-kerja itu.

NOR AZWA menggunakan produk Samak & Sertu keluaran syarikatnya, Sertwo International untuk melakukan kerja-kerja sertu di lapangan.

Penting untuk sijil halal

"Bagi tujuan ini, kami akan memanggil pihak Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) ketika proses sertu dilakukan untuk pemantauan.

"Kemudian JAIN akan mengeluarkan satu surat menyatakan kawasan atau syarikat terbabit telah menjalankan kerja-kerja sertu. Surat ini diperlukan untuk mendapatkan permohonan SPHM,” ujarnya yang turut meluaskan pasaran perkhidmatan sertu merentasi negara seperti di Filipina, Singapura, Indonesia, Hong Kong dan Taiwan.

Bukan itu sahaja ujarnya, ada syarikat melakukannya atas dasar polisi syarikat dan tujuan pasaran terbuka.

Andai tiada kena mengena dengan halal contohnya membeli peralatan terpakai seperti peti sejuk daripada pemilik bukan Islam, katanya, pihaknya akan keluarkan sijil pengesahan dan pelekat sertu untuk memberi tambah nilai kepada pemilik baharu.

NOR AZWA (kanan) begitu menitikberatkan soal SOP dan kerja-kerja sertu di lapangan kerana ia membabitkan perihal hukum dalam agama. -Foto: IHSAN SERTWO INTERNATIONAL SDN BHD

"Apa pun tujuan sertu dilakukan, saya sentiasa mengingatkan kru sertu supaya melakukannya dengan sebaik mungkin kerana jika tak cukup ‘syarat’, mereka yang menanggung akibatnya,” katanya.

Cabaran

Sepanjang lebih sedekad dalam bidang sertu, Nor Azwa mengakui, dirinya adakala begitu paranoid apabila tiba waktu makan lebih-lebih lagi jika terpaksa mengembara ke luar negara.

Masakan tidak, beliau sangat sensitif dengan bau yang mempunyai bahan-bahan dari unsur khinzir. Barangkali kerana kerap terdedah dengannya ketika melakukan kerja-kerja sertu di lapangan.

"Pernah saya buat sertu untuk mesin memproses gelatin (dari sumber tidak halal), saya muntah walaupun sebelum itu sudah memakai minyak cap kapak dan memakai topeng muka,” ceritanya.

NOR AZWA (berdiri) berhasrat mahu melahirkan lebih ramai jurusertu terutama dalam kalangan eksekutif halal. -Foto: IHSAN SERTWO INTERNATIONAL SDN BHD

Selain menawarkan perkhidmatan dan menjual produk sertu serta samak, Nor Azwa juga merupakan jurulatih sertu di Sertwo Academy yang berhasrat melihat lebih ramai jurusertu dilahirkan terutama dalam kalangan eksekutif halal.

Beliau antara individu bertanggungjawab memberi latihan sertu di bawah Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), selain pihak berkuasa tempatan.