Manifesto Wanita PH: Pindaan RUU Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan lulus

Iklan
Aiman Athirah bersama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Ismail selepas selesai pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan di parlimen pada Khamis.

SHAH ALAM - Manifesto Wanita Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu direalisasikan apabila Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan berjaya mendapat sokongan lebih dua pertiga di Parlimen.

Ketua Wanitanya, Datuk Aiman Athirah Sabu menerusi Facebooknya mengucapkan syukur atas kejayaan itu yang disifatkan sebagai hari bersejarah buat semua ibu warganegara Malaysia.

Iklan
Iklan

"Alhamdulillah Dewan Rakyat hari ini (Khamis) menempa sejarah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 membabitkan isu kewarganegaraan.

"Pindaan ini sebetulnya juga adalah merupakan salah satu daripada manifesto PH yang meletakkan azam wanita untuk kita kelak apabila dimandatkan rakyat sebagai kerajaan agar melakukan perkara yang betul,” katanya pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, pindaan ke atas Perkara 14(1)(b) (Perlembagaan Persekutuan) dapat merungkai pelbagai persoalan berbangkit berkaitan kewarganegaraan, khususnya status anak yang dilahirkan di luar negara dalam keadaan ibunya adalah warga Malaysia tetapi bersuamikan warga asing.

"Pindaan ini juga penting susulan pelbagai isu membabitkan pemohon yang mahu mendaftar kewarganegaraan terpaksa menunggu lama, malah ada yang sehingga puluhan tahun berikutan halangan dan kekangan beberapa peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan sedia ada,” katanya.

Iklan

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepang merakamkan setinggi penghargaan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan pasukannya yang telah bekerja keras merealisasikan manifesto berkenaan.

"Begitu juga kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kabinet Malaysia Madani serta kepada semua 206 ahli Parlimen yang telah mengundi meluluskan pindaan ini.

"Ia satu lagi langkah ke hadapan Kerajaan Perpaduan dalam merealisasikan roh Madani dalam pentadbiran negara, iaitu mengangkat martabat dan karomah insan yang bernama wanita amnya, dan ibu khususnya,” ujarnya.