TANAH MERAH - Tindakan seorang penyeludup membawa 782 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi yang disumbat di dalam kereta jenis Proton Waja berjaya dihidu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan di Kampung Kemahang di sini pada Khamis.
Taktik licik itu dikesan KPDN Kelantan pada jam 3.30 petang menerusi Operasi Bersepadu melibatkan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan.
Pengarah KPDN, Azman Ismail berkata, semasa serbuan dibuat, suspek yang merupakan seorang lelaki bertindak melarikan diri dan meninggalkan kereta di sebuah rumah.
"Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut membawa sebanyak anggaran 782kg minyak masak bersubsidi yang disimpan di dalam ruangan kenderaan terbabit.
"Pasukan telah bertindak menyita kenderaan serta minyak masak yang dianggarkan bernilai RM1,955," katanya pada Jumaat.
Menurut beliau, Proton Waja itu dianggarkan bernilai RM7,000 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM8,955.
Ujarnya, kes ini disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat dalam penyeludupan barangan kawalan.
"Pihak berkuasa memberi amaran bahawa operasi bersepadu seperti ini akan terus dipergiatkan bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barangan bersubsidi," katanya.