Sertu bila diyakini ada najis, bukan hanya syak wasangka

Iklan
TIDAK perlu melakukan sertu jika sekadar sangkaan bahawa kawasan yang dipijak telah dilalui oleh anjing atau khinzir. -Foto: CANVA

SELAGI mana kita tidak melihat anjing atau khinzir membuang air kecil atau besar dan nampak keberadaannya secara jelas, maka tidak wajib sertu dilakukan.

Penolong Pendaftar Kanan, Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Jengka, Ustaz Muhamad Azlan Md Aris menjelaskan, ini kerana Islam tidak memberatkan umatnya dan bersusah payah dalam perkara agama.

Iklan
Iklan

Demikian pandangan beliau ketika ditanya tentang keperluan untuk melakukan sertu apabila wujudnya syak wasangka membabitkan rumah bertingkat yang menggunakan kemudahan lif dan pintu laluan yang sama.

USTAZ MUHAMAD AZLAN

Iklan

"Jika sekadar hanya syak wasangka dalam hal itu, tidak harus untuk kita membersihkannya,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Seandainya anjing itu berjalan di kaki lima, ujar pendakwah itu, tiada masalah untuk kita menggunakan laluan berkenaan.

Iklan

Apatah lagi kita berkasut atau memakai selipar saat melalui kawasan itu dan ia tidak dibawa masuk ke dalam rumah.

"Tambahan pula, kasut atau selipar yang digunakan itu sudah memijak tanah dan kita berlalu pergi melakukan aktiviti lain seperti di atas padang dan sebagainya.

DALAM proses sertu, air tanah diperlukan kerana banyak kajian saintifik membuktikan bahawa tanah berupaya membersihkan kekotoran dan mematikan bakteria. -Foto: CANVA

Namun begitu, situasi menjadi sebaliknya jika kita jelas melihat haiwan yang diharamkan di sisi Islam itu menggigit atau menjilat kasut dipakai.

Dalam hal itu, Ustaz Muhamad Azlan menjelaskan, penyucian menggunakan kaedah sertu iaitu melakukan tujuh kali basuhan termasuk salah satu daripadanya dengan air bercampur tanah dan enam kali air bersih wajib dilaksanakan.

Ia sebagaimana dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW: "Apabila anjing meminum pada bekas salah seorang daripada kamu, maka kamu basuhlah ia (bekas) sebanyak tujuh kali, salah satu daripadanya tanah yang rata.” (Hadis Riwayat Ad-Daraqutni)

Bahan menyucikan

Konsep sama turut digunakan apabila membabitkan pembelian rumah terpakai atau subsale dan restoran daripada pemilik asal bukan Islam.

Jelas pegawai hal ehwal Islam itu, sebaiknya kita sebagai pemilik yang baharu bertanyakan terus kepada pemilik asal sama ada mereka membela anjing dan babi atau memasak hidangan tidak halal.

"Jika tuan rumah lama pernah bela anjing, sebaiknya lakukanlah sertu untuk kita menjaga kebersihan.

"Sama juga halnya dengan restoran tadi, sekiranya pemilik asal pernah masak sajian tidak halal, maka wajib sertu keseluruhan premis termasuk peralatan memasak kerana ia akan digunakan untuk memasak makanan yang menjadi darah daging kita,” tuturnya.

SERTU dilakukan jika kita melihat secara jelas najis anjing atau khinzir dan nampak keberadaannya secara jelas serta kawasan itu tercemar dengan najis mughallazah. -Foto: CANVA

Mengapa air bercampur tanah diperlukan untuk proses sertu itu?

Menjawab persoalan itu, jelas Ustaz Muhamad Azlan, dalam kaedah Islam, tanah merupakan satu bahan yang boleh menyucikan.

"Najis mughallazah dari segi sainsnya, ada kuman yang tidak ‘lut’ dengan air. Apabila kajian sains dilakukan, kuman tersebut akan melekat dan pergi bersama air tanah yang diletakkan pada tempat terkenanya najis mughallazah tadi.

"Begitulah cantiknya Islam apabila ALLAH SWT dan Rasulullah SAW menyuruh perbuatan ini dilakukan, maka ada hikmah di sebaliknya dan sains turut menyokong iaitu untuk menjadikan tempat yang terkena dengan najis tadi bersih dengan sebersihnya,” katanya sambil menegaskan supaya tanah yang diambil tersebut biarlah benar-benar bersih dan tidak bercampur najis lain.

Kepada satu soalan, beliau menjawab:"Sebenarnya kita boleh lakukan sertu pada bila-bila masa jika tubuh badan, pakaian atau tempat tertentu terkena najis mughallazah sebelum mendirikan solat atau melakukan ibadah lain,” katanya.

ANEKDOT

TERDAPAT perbezaan antara sertu dan samak yang perlu kita ketahui. -Foto: CANVA

Beza samak dan sertu

- Sertu adalah proses untuk kita menghilangkan ‘ain najis mughallazah (anjing atau babi dan keturunannya) daripada tubuh badan, pakaian mahupun tempat tinggal dengan menggunakan tujuh kali basuhan termasuk salah satunya air yang bercampur tanah.

- Samak pula merupakan perbuatan kita membersihkan kulit haiwan sama ada binatang boleh dimakan atau tidak selain anjing dan babi.

- Tujuan samak adalah untuk membuang kekotoran seperti lemak dan lebihan daging serta bahan-bahan yang boleh merosakkan kulit tersebut untuk ‘menghalalkan’ kulit itu digunakan sebagai pakaian dan lain-lain.

- Lazimnya samak dilakukan dengan bahan berunsur ‘tajam’ seperti menggunakan tawas atau bahan-bahan kimia.