KUALA LUMPUR - Seorang lelaki sanggup meminjam wang rakannya untuk melanggan pelacur di sebuah premis di Taman Usahawan, Kepong di sini.
Bagaimanapun, hasrat warga Bangladesh berusia lingkungan 40-an itu terbantut selepas premis itu digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur kira-kira jam 8 malam pada Khamis.
Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Jamal berkata, dia mendakwa sudah tujuh bulan tidak bekerja dan meminjam wang daripada rakannya untuk ke premis terbabit.
"Saya bayar RM240 tapi tak sempat langgan (pelacur) sebab (premis) kena serbu.
"Saya sekarang tinggal di rumah adik, makan minum semua adik tanggung.
"Sebelum ini saya kerja menjahit pakaian tapi kedai dah tutup. Saya tak mahu balik negara asal kerana di sana hidup lagi susah,” katanya selepas ditahan di sini.
Tinjauan Sinar Harian mendapati premis disyaki beroperasi kira-kira setahun lalu itu dibuka bermula jam 10 pagi selain pelanggan boleh membuat tempahan wanita asing di aplikasi sosial seperti WhatsApp, Telegram dan WeChat atau datang terus ke premis.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan dilakukan susulan aduan awam serta risikan yang dijalankan selama dua minggu.
"Hasil serbuan, kita menahan 20 wanita warga asing disyaki pelacur terdiri daripada lapan warga Indonesia, Thailand (7) dan Vietnam (5).
"Turut ditahan dua lelaki tempatan yang disyaki pengurus premis serta dua pelanggan warga Bangladesh,” katanya kepada pemberita di sini.
Tambah beliau, kadar bayaran yang dikenakan untuk khidmat wanita asing itu sebanyak RM240 untuk sejam. Mereka dipercayai menerima pelanggan antara 20 sehingga 30 pelanggan setiap hari.
Katanya, kesemua tangkapan dibawa ke Pejabat JIM Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut bagi tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.